Liverpool kembali himpit City, United

Salah meledak dua gol dalam kemenangan bergaya ke atas West Ham United pada Isnin.
Salah meledak dua gol dalam kemenangan bergaya ke atas West Ham United pada Isnin.
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas menundukkan West Ham United 3-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium London pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, skuad kendaliannya itu sudah mendapat rentak dan berada di landasan tepat meraih kemenangan, sekali gus mempertahankan kejuaraan EPL musim ini.

"Ia adalah perlawanan yang sangat bagus dan profesional. Kami dapat mengawal perlawanan berdepan pasukan yang mempunyai corak permainan menarik.

"Kami tidak mencipta banyak peluang pada separuh masa pertama. Kami membuat sedikit perubahan dan ia berhasil. Kami menjaringkan tiga gol yang sangat hebat.

"Para pemain ini merupakan satu kumpulan yang bagus. Mereka tidak gembira sekiranya kalah dan mereka memiliki sikap yang sangat bagus," katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah meledak dua gol dan Georginio Wijnaldum turut mencetak nama selaku penjaring manakala gol sagu hati West Ham dijaringkan oleh Craig Dawson.

Ia sekali gus menyaksikan Liverpool kembali menghimpit dua pasukan teratas liga dengan perbezaan tiga mata berbanding Manchester City dan satu mata di belakang Manchester United.

Dalam pada itu, Klopp turut menyifatkan para pemainnya menunjukkan sikap yang bagus bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Burnley 0-1 dalam saingan EPL selain disingkirkan United pada aksi Piala FA baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya bercakap banyak perkara dengan mereka ketika tewas kepada Burnley dan United. Ada beberapa kesilapan yang mungkin saya buat.

"Sekarang kami sudah kembali menemui rentak untuk membuat pasukan lain gelisah. Kami sudah menunjukkan keupayaan sebenar dalam dua perlawanan terakhir," katanya.