Peruntukan inklusif kepada semua jenis institusi pendidikan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi bantuan secara inklusif kepada semua jenis institusi pendidikan yang berdaftar dan bebas daripada pengaruh politik mengikut kemampuan kewangan semasa negara.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim berkata peruntukan RM2 juta kepada sebuah kolej swasta, Southern University College baru-baru ini, yang dipersoal pemimpin Umno dan Pas adalah permainan sentimen prejudis dan sempit.

"...anehnya, pemimpin pembangkang daripada MCA pula mempertikaikan jumlah peruntukan kerana dianggap terlalu kecil," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Lutfi berkata Kementerian Kewangan sebelum ini meluluskan peruntukan RM15 juta secara terus kepada Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah institusi pengajian tinggi swasta bukan untuk keuntungan di Cyberjaya.

"Pemberian ini tidak pula dipertikaikan pemimpin pembangkang Pas dan Umno," katanya.

Selain itu, Lutfi berkata Belanjawan 2019 juga memperuntukkan RM25 juta kepada sekolah pondok berdaftar dan bebas daripada pengaruh parti politik, yang tidak diberikan kerajaan terdahulu dalam Belanjawan 2018.

Artikel Berkaitan: