Dipaksa makan daging babi, minum arak

6
6
A
A
A

BEIJING - CHINA. Orang Islam di Xinjiang, wilayah barat China dipaksa makan daging babi dan meminum arak ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina.

Penduduk di wilayah autonomi Ili Kazakh mendakwa mereka menerima jemputan majlis makan malam itu yang turut menghidangkan makanan dan minuman diharamkan di sisi agama Islam.

Menurut laporan Radio Free Asia (RFA), penduduk Islam terbabit mendakwa pegawai kerajaan mengugut mahu menghantar ke 'kem pendidikan semula' jika mereka tidak hadir acara itu.

Gambar didedahkan RFA juga menunjukkan pegawai di bandar Yining mengagihkan daging babi mentah kepada penduduk Islam menjelang sambutan Tahun Baru Cina pada Isnin lalu.

Penduduk minoriti Islam terbabit dipaksa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.
Penduduk minoriti Islam terbabit dipaksa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Komuniti itu juga dipaksa melakukan dekorasi perayaan terbabit seperti menggantung tanglung merah dan kuplet di luar kediaman masing-masing.

"Penduduk Kazakh di Xinjiang tidak pernah makan daging babi. Sejak tahun lalu, beberapa penduduk telah dipaksa memakan daging tersebut untuk membolehkan mereka meraikan festival disambut komuniti Han," dedah seorang penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk wanita mendakwa komuniti terbabit tidak meraikan festival musim bunga tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kami hanya merayakan Aidil Fitri dan Aidil Adha. Festival Musim Bunga adalah untuk penduduk Han dan mereka yang menganut Buddha," ujarnya.

Sejak akhir 2018, pegawai kerajaan telah mengagihkan daging babi kepada kira-kira 80 peratus penduduk Kazakh di daerah Savan.

Cubaan asimilasi penduduk Uighur

Jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit memaklumkan mereka ada menerima laporan sama tentang perkara itu.

"Kerajaan China telah meningkatkan kempen untuk mengasimilasikan penduduk Uighur dengan budaya komuniti Han. Mereka memaksa etnik Uighur untuk menyambut Tahun Baharu Cina dan melakukan perkara yang bertentangan dengan agama Islam untuk membuktikan kononnya mereka bukan pengamal 'kepercayaan agama yang melampau' dan tidak menghormati budaya tradisional masyarakat Cina," jelasnya.

Pusat pendidikan kemahiran vokasional yang menahan etnik Uighur di Dabancheng di Xinjiang.
Pusat pendidikan kemahiran vokasional yang menahan etnik Uighur di Dabancheng di Xinjiang.

Laporan yang diterbitkan sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Kristian, ChinaAid mendedahkan penduduk Islam di Xinjiang telah dipaksa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina itu pada Februari tahun lalu.

Sebelum ini, laporan PBB mendapati sehingga sejuta penduduk Uighur dan minoriti Islam lain dipercayai ditahan di pusat tahanan di Xinjiang yang turut mencetuskan kemarahan antarabangsa.

Tahanan yang gagal mengikuti arahan pihak berkuasa didakwa dihukum dengan tahanan seorang diri, dipukul dan dibiar kebuluran.

Bekas tahan mendakwa mereka juga dipaksa memakan daging babi dan mengambil minuman alkohol sebagai hukuman.

Beijing bagaimanapun menafikan kewujudan kem pendidikan semula tersebut.

Oktober lalu, Pengerusi kerajaan Xinjiang, Shohrat Zakir berkata, kemudahan terbabit merupakan 'alat berkesan' untuk melindungi negara itu daripada ancaman keganasan selain menyediakan latihan vokasional untuk etnik minoriti Islam tersebut. - Daily Mail

Info:

>Wilayah Xinjiang didiami lebih 10 juta etnik Uighur

>Oktober lalu, pegawai di Urumqi telah melancarkan kempen menyasarkan produk halal

>Beijing mendakwa wilayah itu sebagai ancaman kepada keamanan di negara yang didiami majoriti etnik Han