Rt tertinggi di Terengganu akibat pergerakan bebas Disember lalu

Dr Safiya (kanan) ketika ditemubual dalam sesi Sembang Pagi UniSZA pada Ahad.
Dr Safiya (kanan) ketika ditemubual dalam sesi Sembang Pagi UniSZA pada Ahad.
A
A
A

KUALA NERUS - Pergerakan bebas terutama melibatkan individu dari zon merah selepas kebenaran rentas negeri pada Disember tahun lalu mengakibatkan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Terengganu bulan ini.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Safiya Amaran berkata, aktiviti keluar masuk itu tanpa disedari telah menyebabkan penyebaran wabak itu di merata tempat di negeri ini.

Menurutnya, ramai yang terkejut dan tertanya-tanya apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kadar kebolehjangkitan (Rt) virus Covid-19 di Terengganu adalah yang tertinggi di Malaysia pada 24 Januari 2021 dengan nilai 1.52.

“Antara puncanya disebabkan banyak pergerakan di seluruh negara dan jumlah individu dari zon merah ke Terengganu juga meningkat secara mendadak. Walaupun ia berlaku pada Disember 2020, namun kesannya nampak ketara pada Januari. Inilah yang dinamakan sebagai ‘seeding’ iaitu kes itu tertanam seperti benih di banyak lokasi di Terengganu.

“Proses ini mengambil masa di mana ia ‘tertanam’ pada Disember dan menjalar keluar pada Januari. Jangkitan itu mungkin berlaku dalam jumlah yang sedikit tetapi ia terus merebak dan kesannya dilihat sekarang,” katanya menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, situasi di Terengganu kini berbeza berbanding empat minggu lalu di mana bilangan kes aktif di seluruh negeri pada 31 Disember lalu hanya 36 kes manakala bilangan kes di setiap daerah hanya melibatkan angka satu digit.

“Masyarakat negeri ini sudah terbiasa dengan angka kes sedikit dan bebas untuk kunjung mengunjung ke rumah saudara mara atau sahabat handai tanpa perlu risau tentang jangkitan dan aktiviti ini berterusan tanpa sedar ‘seeding’ sudah berlaku sehinggalah kes naik mendadak di Terengganu dan kita mula sedar penularan wabak Covid-19 berlaku dengan pantas.

“Ia menyebabkan perubahan ketara berlaku pada Januari di mana sehingga semalam terkumpul lebih 800 kes aktif yang memerlukan pengasingan dan rawatan melibatkan semua daerah di Terengganu malah kebanyakan zon di Terengganu bertukar jadi merah kecuali di Kemaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Dr Safiya yang merupakan pensyarah di Fakulti Perubatan UniSZA berkata, tempoh berakhirnya pandemik Covid-19 ini sukar dijangka.

“Di Malaysia, ia amat bergantung kepada pergerakan dan aktiviti semua orang, jika kita semua patuh kepada setiap arahan pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM serta sentiasa mengikuti prosedur operasi standard (SOP) di mana sahaja, kemungkinan kes Covid-19 akan surut perlahan-lahan namun jika masih ramai yang abaikan SOP, ia akan terus merebak.

“Saya percaya pandemik di seluruh dunia ni akan tamat juga akhirnya. Ia tidak akan berterusan buat selamanya. Ini berdasarkan sejarah pandemik-pandemik yang pernah berlaku di seluruh dunia sebelum ini.

"Pandemik paling teruk di dunia pernah direkodkan sejak seabad yang lalu ialah Pandemik Influenza 1918 di mana ia muncul secara tiba-tiba dan merebak dengan begitu cepat sehingga menjangkiti kira-kira satu per tiga penduduk dunia serta mengakibatkan kematian kira-kira 50 juta orang. Bagaimanapun, ia hilang tanpa benar-benar kita fahami bagaimana, selepas tempoh kira-kira dua tahun,” katanya.