X

Kindly register in order to view this article
!

Perihal Ayob Khan dan Sanusi

Muhammad Sanusi Md Nor dan Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

ADA dua tokoh tanah air yang menarik perhatian orang ramai yang bersimpang-siur di kaki lima sekarang. Seorang bernama Ayob Khan Mydin Pitchay manakala seorang lagi Muhammad Sanusi Md Nor.

Ayob Khan adalah crime busters. Beliau merupakan Ketua Polis Johor dan Sanusi pula seorang politikus. Beliau menerajui tampuk pemerintahan Negeri Kedah.

Kedua-duanya adalah pemimpin dalam dunia masing-masing. Dan kedua-duanya masih muda, dinamik serta berkaliber. Ayob berusia 54 tahun dan Sanusi, 46.

Sejak Ayob dihantar ke Johor Bahru 6 Mac tahun lalu, beliau telah mencuri perhatian ramai. Ia bukan sekadar berkisar tentang tatacara kerjanya tetapi juga atas sikap tidak komprominya dalam menangani jenayah.

Ini termasuklah memerangi amalan salah laku kakitangan di bawah pentadbirannya. Pendekatannya dalam memastikan tindakan tegas diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa dapat dilihat pada statistik tangkapan dan pertuduhan mahkamah sejak beliau mengambil alih jawatan ketua polis negeri.

Dalam tempoh tidak sampai setahun, beliau telah membersihkan kontinjen polis Johor dengan 43 anggota serta pegawai dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan tatatertib, salah laku, rasuah dan dadah.

Seramai 46 lagi anggota telah dibuang kerja, 57 kakitangan lagi ditahan kerja dan 12 anggota telah digantung kerja. Penekanan beliau dalam aspek integriti dan isu rasuah dalam kalangan anggota jelas sekali telah menampakkan hasilnya.

Dalam dua kes yang berasingan, Ayob memberitahu Sinar Harian, anggotanya telah menolak sogokan rasuah bernilai RM45,000 daripada tauke pusat hiburan di Seri Alam dan dalam satu kes lagi menolak sogokan berjumlah RM29,600 daripada seorang penyeludup rokok di Skudai.

Kedua-duanya adalah satu jumlah sogokan yang besar dan hakikat bahawa anggota-anggota polis di bawah Ayob Khan menolak wang tunai sebanyak itu dan menahan nafsu daripada terus tergoda adalah suatu kejayaan yang besar.

Kita harus mengangkat topi kepada anggota-anggota polis yang jujur dan berkhidmat dengan penuh integriti. Ayob Khan telah membuktikan jika ‘kepala’ tidak buat dan tidak rosak, yang di bawah juga akan turut.

Inilah contoh kepimpinan melalui teladan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi cogan kata kakitangan perkhidmatan awam di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dan Ayob Khan mengakui, tindakan tegas dan tanpa kompromi beliau ke atas kakitangannya sendiri tidak sunyi daripada kritikan termasuklah dari dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga ada dalam kalangan mereka yang menyindirnya dengan kata-kata, dia hendak tangkap penjenayah atau kakitangan sendiri?

Menurut Ayob Khan, kata-kata sindiran tersebut tidak sedikit pun menggusarkan dirinya.

“Saya telah diberi tanggungjawab. Maka saya perlu membersihkan rumah saya dahulu baru saya boleh membersihkan rumah orang lain,” ujarnya.

Malah beliau memegang prinsip, “bukan setakat tepi kain orang tetapi dalam kain pun saya perlu ambil tahu.”

Dalam pada itu, beliau juga telah menumpaskan berpuluh-puluh sindiket dadah dengan nilai tangkapan sudah melebihi RM300 juta. Begitu juga dengan jenayah kongsi gelap dan lain-lain.

Amat nyata sekali, Malaysia memerlukan lebih ramai Ayob Khan. Beliau membuktikan persepsi negatif ke atas polis adalah tidak selalunya benar. Syabas dan tahniah. Kita berharap beliau akan berada lebih lama di Johor dan membebaskan negeri itu daripada segala bentuk jenayah.

Sebaliknya, lain pula kisah di Utara Semenanjung. Selepas Kerajaan Pakatan Harapan tumbang setahun yang lalu dan jawatan Menteri Besar diambil alih oleh Sanusi daripada tangan Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada bulan Mei, beliau telah mengundang satu demi satu kontroversi.

Negeri Kedah sebenarnya jarang-jarang mencetuskan kontroversi melainkan riuh rendah dengan pasukan bola sepaknya sahaja. Kedah adalah pasukan yang digeruni. Antara 2015-2019 sahaja, mereka berjaya ke final sebanyak empat kali dan muncul juara pada 2016.

Kini nama Kedah kembali popular tetapi atas sebab yang salah bukan kerana riuh rendah bola.

Ia bermula dengan keputusan pihak berkuasa tempatan merobohkan kuil penganut agama Hindu di kawasan yang tidak diwartakan sebagai rumah ibadat pada 1 Disember lalu. Menurut Sanusi apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan hanyalah melaksanakan undang-undang.

Memang betul mengikut undang-undang tidak boleh mana-mana pihak membina rumah ibadat sesuka hati sama ada di tepi jalan atau di tanah persendirian. Niat Sanusi tu betul tapi cara beliau menangani isu berkenaan tidak begitu bijak.

Bab agama dan rumah ibadat ini adalah isu yang sangat sensitif, tidak kira mengaitkan agama apa sekali pun. Sebagai orang politik, Sanusi harus belajar dan bijak menggunakan bahasa dan tutur kata yang betul dalam seni berkomunikasi dengan pihak yang terlibat.

Kemudian, beliau mencetuskan satu lagi kontroversi apabila beliau memberikan perumpamaan seperti ‘minum todi’ berhubung bantahan yang dibuat oleh MIC dan DAP terhadap isu perobohan kuil berkenaan.

Menurut Sanusi, beliau sekadar memberi perumpamaan bukannya menghina mana-mana kaum. Sekali lagi pemilihan kata-katanya tidak begitu tepat sebagai seorang ahli politik dan sebagai Menteri Besar.

Dan yang terbaru, seperti tidak belajar daripada kesilapan masa lalu, pada 21 Januari beliau memberi komen berhubung cuti perayaan Thaipusam. Katanya, Negeri Kedah tidak perlu mengisytiharkan hari berkenaan sebagai hari pelepasan am bukan sahaja kerana pandemik Covid-19 masih tinggi tetapi juga kerana ia tidak pernah diamalkan sebagai cuti umum untuk Negeri Kedah.

Oleh kerana isu ini sekali lagi melibatkan kaum India, Sanusi dituduh sebagai seorang yang tidak sensitif kepada perasaan kaum minoriti di negeri tersebut.

Jika ia sekali pun tak perlu lah cakap seperti itu. Jadilah Menteri Besar untuk semua bukan sekadar untuk Pas dan orang Melayu.

Ini belum diambil kira lagi kenyataan beliau mengenai Kedah memiliki simpanan deposit elemen rare-earth bernilai RM43 trilion yang menjadi bahan ketawa ramai dan persengketaannya dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung isu air Sungai Muda.

MB Kedah, jangan berakhir seperti Khir Toyo yang memberi penyapu kepada kakitangan kerajaan negeri sehingga membawa kepada kejatuhannya.

*Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!