Guna MyVi seludup ketum

Taktik seorang lelaki menggunakan kereta jenis Perodua MyVi untuk menyeludup 380 kg daun ketum bagi mengaburi mata anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa gagal.
Taktik seorang lelaki menggunakan kereta jenis Perodua MyVi untuk menyeludup 380 kg daun ketum bagi mengaburi mata anggota PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa gagal.
A
A
A

TUMPAT - Taktik seorang lelaki menggunakan kereta MyVi untuk menyeludup 380 kilogram (kg) daun ketum bagi mengaburi mata anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa gagal.

Lelaki berusia 36 tahun itu dicekup selepas MyVi yang dipandunya ditahan anggota PGA berhampiran pangkalan haram Aziz di Kampung Pisau Raut, di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Nor Azizan Mohd Yusof berkata, suspek itu ditahan pada jam 8.30 malam semasa anggota PGA Batalion 8 melakukan rondaan rutin di kawasan tersebut.

"Sejurus ditahan, anggota PGA telah melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut.

"Hasilnya, kita telah menemui 19 bungkusan plastik mengandungi bahan terlarang itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, bungkusan plastik yang mengandungi daun ketum itu telah ditemui di bahagian tempat duduk hadapan, belakang dan bonet kenderaan.

Pelbagai barangan kosmetik turut dirampas oleh PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa di sebuah rumah tidak bernombor di pengkalan haram Aziz, Kampung Pisau Raut, Tumpat.
Pelbagai barangan kosmetik turut dirampas oleh PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa di sebuah rumah tidak bernombor di pengkalan haram Aziz, Kampung Pisau Raut, Tumpat.

Beliau berkata, saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait penggunaan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Nor Azizan berkata, keseluruhan rampasan termasuk MyVi dianggarkan berjumlah RM31,400.

Katanya, PGA tidak menolak kemungkinan daun ketum itu mahu diseludup ke negara jiran kerana permintaan terhadap daun ketum sangat tinggi selain harganya yang mahal.

Sementara itu, Nor Azizan turut mengesahkan setengah jam kemudian di lokasi yang sama iaitu

pangkalan haram Aziz, Kampung Pisau Raut, PGA berjaya merampas 464 botol ubat batuk di sebuah rumah tidak bernombor.

Katanya, dalam serbuan jam 10 malam itu PGA berjaya menahan seorang lelaki berusia 49 tahun bagi membantu siasatan.

"Selain itu, kita turut merampas pelbagai barangan kosmetik.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk ubat batuk dan kosmetik itu dianggarkan berjumlah RM7,190," katanya.