Masuk kampung orang asli edar bahan PdPR

Murid orang asli beratur untuk mendapat bahan PdPR yang dihantar guru ke kampung mereka.
Murid orang asli beratur untuk mendapat bahan PdPR yang dihantar guru ke kampung mereka.
A
A
A

KUANTAN - Prihatin kesulitan dihadapi murid orang asli mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) mendorong pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bungor di sini mengambil inisiatif menyediakan bahan pembelajaran dan menghantarnya ke beberapa perkampungan orang asli di kawasan itu.

Guru, Noor Syazuan Zulkifli, 36, berkata, ramai dalam kalangan murid yang tinggal di perkampungan orang asli di Kilometer 56 Jalan Kuantan-Maran dan Kampung Gedung Siam sukar mengakses liputan internet.

Menurutnya, terdapat dalam kalangan murid yang tidak mempunyai peranti selain keluarga tidak berkemampuan menyediakan data internet.

“Inisiatif bersama guru besar ternyata mendapat respon positif daripada ibu bapa murid terlibat.

“Kami mengumpul modul yang disediakan guru dan membawanya ke kampung berkenaan untuk menyerahkan kepada murid,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Noor Syazuan berkata, dia hanya membuka bonet kereta di kawasan dewan orang ramai bagi memudahkan murid atau ibu bapa mengambil bahan pengajaran berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

Murid orang asli merebut peluang beratur untuk mendapat bahan PdPR dihantar guru ke kampung mereka.
Murid orang asli merebut peluang beratur untuk mendapat bahan PdPR dihantar guru ke kampung mereka.

“Kita mendapat kerjasama pemimpin setempat dengan menggunakan saluran kumpulan WhatsApp Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) untuk menguar-uarkan perkara ini.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, sambutan amat baik apabila ada murid dan ibu bapa bapa menunggu kedatangan kami untuk mendapatkan bahan pembelajaran itu.

“Ternyata mereka ada kesungguhan untuk belajar, namun disebabkan masalah dihadapi proses PdPR dalam kalangan murid ini agak terganggu,” katanya.

Menurutnya, murid juga diberi kertas latihan bagi mata pelajaran dan perlu menghantar kembali ke bakul yang disediakan untuk dikutip dan disemak guru seminggu sekali selain edaran bahan pembelajaran.

“Inisiatif sama juga akan dilakukan kepada murid lain yang mungkin menghadapi masalah sama terutama mereka yang tinggal di kampung jauh di pedalaman.

“Pada masa sama, saya sendiri turut menggunakan saluran YouTube dengan memuat naik video pembelajaran untuk rujukan murid,” katanya.