'Saya letak di luar rumah, dua jam dah habis!'

Antara barang keperluan asas yang diletakkan di pondok berhadapan rumah dan orang ramai boleh mengambilnya secara percuma.
Antara barang keperluan asas yang diletakkan di pondok berhadapan rumah dan orang ramai boleh mengambilnya secara percuma.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Barang sumbangan yang diletakkan di luar rumahnya, di sini pada Sabtu habis dalam masa dua jam kerana iklan berkenaan sumbangan tersebut tular di media sosial.

Datin Seri Juridah Atin, 59, tidak menyangka aktiviti yang hanya dilakukan secara spontan dengan dorongan suami itu mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk sekitar dan luar daerah seperti Puchong serta Petaling Jaya yang sanggup datang ke rumahnya untuk mengambil barang sumbangan tersebut.

Juridah Atin
Juridah Atin

Menurutnya yang merupakan bekas pensyarah bahasa Inggeris di Universiti Teknologi Mara (UiTM), walaupun biasa memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan melalui badan-badan tertentu atau orang perseorangan, ini merupakan inisiatif pertama yang dilakukan secara kolektif bersama ahli keluarga di kediamannya.

“Awalnya, saya tak rancang untuk lakukan perkara ini kerana niat asal saya hanya untuk berkongsi rezeki dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tapi saya terharu dan seronok dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada orang ramai, malah saya tak sangka ia tular di media sosial dan sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Juridah berkata, antara barangan yang disumbangkan ialah barangan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, tepung, telur, mi segera dan pelbagai lagi.

Ujarnya, barangan tersebut diletakkan di pondok berhadapan rumahnya dan orang ramai boleh datang untuk ambil barangan tersebut secara percuma dan tanpa syarat.

Artikel Berkaitan:

Menyedari masih ramai orang yang hidup dalam kesusahan ketika ini, Juridah berhasrat ingin meneruskan kegiatan sebegini secara berjadual dan lebih tersusun.

“Walaupun saya telah menjalankan aktiviti ini hanya pada Sabtu, namun masih ramai yang datang pada Ahad untuk mendapatkan barangan tersebut.

“Jadi, saya rasa agak terkilan kerana tidak dapat memberikan sumbangan kepada mereka yang sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan barangan keperluan ini.

“Untuk program yang akan datang, saya akan cuba tambah lagi barangan lain seperti barang keperluan bayi, tuala wanita, ubat-ubatan asas serta serta pakaian terpakai dan hanya yang benar-benar layak sahaja boleh menerimanya, sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya.