Zahid persoal dakwaan syarikat tiang keluli, lampu jalan edar vaksin

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membangkitkan persoalan bagaimana syarikat bukan pengeluar vaksin mendakwa mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengedarkan vaksin Covid-19.

Beliau berkata, lebih mengelirukan, dakwaan itu dibuat oleh syarikat tiang keluli dan lampu jalan.

"Dalam pemahaman saya, kerajaan sebelum ini sudah pun memberi keyakinan bahawa urusan pembelian vaksin Covid-19 hanya melibatkan antara kerajaan dengan kerajaan atau kerajaan bersama syarikat pengeluar.

"Semalam, tidak ada angin tidak ada ribut tiba- tiba tersebar pula dakwaan Mestron Holding Berhad kononnya mereka menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

"Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Mestron Holding Berhad, Por Teong Eng iaitu syarikat yang terlibat dalam pembuatan tiang keluli untuk lampu jalan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Menurutnya, meskipun dakwaan syarikat itu telah dinafikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bersama timbalan menteri dan setiausaha sulitnya selepas beberapa jam perkara tersebut tersebar, namun masih ada kekeliruan yang perlu dijawab.

"Persoalannya di sini, satu pihak mendakwa mendapat kebenaran KKM untuk mengedarkan vaksin.

"Dakwa mereka, surat bertarikh 8 Januari 2021 membolehkan syarikat mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid berkata, vaksin berkenaan merupakan harapan baharu kepada rakyat yang ketika ini sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, jadi ia seharusnya tidak menimbulkan sebarang isu yang tidak wajar.

"Jangan benarkan ada pihak memanipulasi urusan vaksin hingga syarikat tiang keluli dan lampu jalan pun ada surat kebenaran," katanya.

Mestron Holdings Bhd pada Jumaat mengulangi kenyataan telah menerima surat kebenaran daripada KKM untuk memulakan rundingan dan kerjasama dengan mana-mana syarikat dari China berhubung pengedaran vaksin Covid-19 di Malaysia.

Mestron menjelaskan surat bertarikh 8 Januari 2021 itu membolehkan pihaknya mengadakan perbincangan dan kerjasama mengenai pengimportan, pengedaran, penjualan, pemasaran dan penggunaan vaksin negara ini.