Peniaga tak perlu pindah, kekal hingga tapak siap

Noh sempat melambai tangan kepada orang ramai yang membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Sungai Long ketika lawatannya pada Ahad.
Noh sempat melambai tangan kepada orang ramai yang membeli barangan keperluan di Pasar Pagi Sungai Long ketika lawatannya pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Peniaga di Pasar Pagi Sungai Long di sini tidak perlu berpindah ke lokasi baharu di tapak Laman Niaga Komuniti Bandar Sungai Long selepas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membenarkan mereka meneruskan operasi

Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dalam satu lawatan di sini berkata, pihak MPKj bersetuju memberi tempoh dua tahun kepada peniaga terbabit meneruskan perniagaan sehingga tapak baharu siap dibina dijangka pertengahan tahun 2023.

Menurutnya, kerajaan negeri Selangor perlu mengambil berat masalah rakyat khususnya peniaga yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan tidak perlu menunggu untuk menyuarakan masalah mereka untuk tindakan.

"Hentikan kerja gila, mengapa perlu mengganggu peniaga ketika negara menghadapi darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan?

"Jika kerajaan ingin meminta peniaga pindah ke tempat lain, mereka perlu mempunyai tempat sementara yang kondusif, bukan menyuruh mereka berpindah ke tempat baharu yang masih belum siap," katanya pada Ahad.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Datuk Mohd Ridzuan Abdullah mendakwa, perkara berkenaan berlaku apabila campur tangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masing-masing ingin menunjukkan kuasa.

Dakwanya, pihak MPkj lambat mengambil tindakan dan memerlukan tekanan daripada pelbagai pihak untuk membuat keputusan tersebut.

"Apabila DAP dan PKR masing-masing berebut untuk tunjuk kuasa, rakyat jadi mangsa keadaan sehingga ada desakan daripada Ikhlas dan kedatangan Tan Sri (Noh) ke sini, masalah ini selesai," katanya

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bandar Sungai Long, Fanny Lim Foong Kuan pula mengucapkan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Hee Loy Sian dan pihak MPKj yang membenarkan peniaga terus berniaga sehingga tapak niaga baharu siap dibina.

Luahan sama daripada wakil peniaga pasar pagi di sini yang ingin dikenali sebagai Fadhli yang bersyukur kerana suara mereka didengari oleh pihak berkuasa.

"Terima kasih atas khabar gembira ini dan ia sangat bermakna buat kami yang sudah berniaga lebih 20 tahun di sini," katanya.