Rancang hantar 'Adik' ke tahfiz

Norlida mencium bantal busuk anak angkatnya ketika menerima lawatan Rina di Homestay Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka pada Ahad.
Norlida mencium bantal busuk anak angkatnya ketika menerima lawatan Rina di Homestay Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - "Saya pernah merancang nak hantar Adik ke sekolah tahfiz ketika usianya sembilan tahun dan ibu kandungnya setuju dengan cadangan dan hasrat itu tetapi tidak tahu kenapa dia kemudian mengubah keputusan," kata ibu angkat kepada kanak-kanak maut dipercayai mangsa dera, Norlida Abu Hassan, 50.

Norlida berkata demikian kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun yang melawat keluarganya di Inap Desa Sungai Putat, Batu Berendam di sini, pada Ahad.

Norlida berkata, hasrat itu pernah disuarakan kepada ibu kandung mangsa yang berusia 32 tahun itu selain wanita berkenaan juga bersetuju memberinya tempoh dua tahun untuk mengajar mangsa atau panggilan manjanya, Adik, untuk solat dan mengaji.

Menurutnya, ketika itu ibu kandung mangsa memberikan respon positif untuk menghantar kanak-kanak berusia tujuh tahun itu di tahfiz berdekatan dengan rumahnya di Krubong, Melaka.

"Saya anggap dia (ibu kandung Adik) macam anak kandung sendiri dan saya beritahunya supaya memberi masa dua tahun iaitu masa Adik usia tujuh dan lapan tahun untuk ajar Adik solat dan mengaji al-Quran dengan betul dan dia setuju.

"Ibunya juga setuju untuk mengambil dan menghantar Adik tetapi semua itu tidak kesampaian," katanya.

Sementara itu, Rina mengucapkan takziah dan meminta keluarga itu terus bersabar dan tabah berikutan Norlida dan keluarganya mengambil tanggungjawab menjaga dan membesarkan kanak-kanak lelaki itu sejak mangsa berusia dua bulan.

Hadir sama pada pertemuan itu, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Latipah Omar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Burhanuddin Bachik.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Rina berkata, beliau menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada polis untuk meneruskan siasatan dengan segera dan lebih penting kematian mangsa mendapat pembelaan.

Menurutnya, insiden yang berlaku perlu dijadikan iktibar dan pengajaran supaya tidak berlaku kepada kanak-kanak lain.

"Saya harap sayangilah anak-anak supaya mereka akan rasa lebih selamat. Sama-sama memainkan peranan, terutama dalam kalangan jiran tetangga atau ahli keluarga berdekatan.

"Jika kita dengar tangisan yang kerap dan menjadi tanda tanya, teruskan buat aduan di Talian Kasih yang beroperasi 24 jam kerana kita perlu cakna, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kes yang menimpa arwah daripada berulang," katanya.

Dalam pada itu, Rina berkesempatan meluangkan masa kira-kira 40 minit menyantuni dua kanak-kanak yang juga adik kepada mangsa berusia dua dan empat tahun yang dibawa kakitangan JKM dengan menaiki kenderaan JKM ke inap desa berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Melaka.