Kes Covid-19 harian terus lepasi angka 5,000

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Malaysia mencatatkan jumlah kes sembuh Covid-19 harian tertinggi hari ini apabila mencatatkan 4,522 kes, manakala kes baharu harian kekal melebihi 5,000 kes tiga hari berturut-turut, namun menurun sedikit berbanding pada Sabtu dengan 5,298 kes.

Jumlah kes sembuh tertinggi sebelum ini ialah 4,427 pada 24 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 166,049 dan kumulatif kes kini 214,959, sementara bilangan kes aktif sebanyak 48,150.

“Berdasarkan jumlah kes baharu hari ini, 5,295 kes merupakan penularan tempatan manakala tiga lagi kes import membabitkan dua warganegara dan seorang warga asing.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi dengan 2,460 kes diikuti Johor (1,020 kes) dan Kuala Lumpur (783),” katanya dalam kenyataan perkembangan Covid-19 pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, 313 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 127 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya sebanyak 14 kes kematian dilaporkan pada Ahad, melibatkan 12 kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sarawak dan Kuala Lumpur, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 760.

Mengenai kluster, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kluster aktif kini 392, dengan 83 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada 10 kluster baharu, tujuh kluster membabitkan kluster tempat kerja iaitu Jalan Rami Tiga, Jalan Mega dan Sri Plentong di Johor; Jalan Kewajipan dan Persiaran Sabak (Selangor); Tapak Bina Raja Chulan (Kuala Lumpur) dan Jalan Masjid Tanah di Melaka.

“Dua kluster lagi ialah kumpulan berisiko tinggi iaitu, Jalan Ithnin di Johor dan Bercham Raya di Perak manakala satu lagi dari kluster komuniti iaitu, Jalan Tronoh di Perak.

“Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi hari ini adalah Kluster Tapak Bina Jalan Vista dengan 222 kes, Tapak Bina Jalan Chulan (151 kes) dan Kluster Jalan Kewajipan (125 kes),” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, peningkatan jumlah kes harian yang mendadak sehingga melepasi angka 5,000 dalam tempoh tiga hari berturut-turut ini, disebabkan oleh pelaporan lewat kes ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk kes-kes yang dikesan positif pada 2020.

“Peningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat dan saringan kumpulan berisiko tinggi, yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa negeri.

“Namun begitu, kes-kes yang lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan, seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat, serta pengesanan kes secara aktif,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga kelewatan pelaporan menggunakan Sistem Makmal Kesihatan Awam (SIMKA) oleh fasiliti swasta berdaftar, misalnya klinik dan hospital swasta.

“Terima kasih kepada fasiliti swasta yang telah melaporkan kes segera menggunakan SIMKA dan juga pengguna MySejahtera yang membuat laporan kendiri, bagi memaklumkan status keputusan ujian Covid-19 mereka.

"KKM akan bekerjasama dengan semua pihak berkaitan, agar isu kelewatan pelaporan kes-kes positif ini dapat ditangani dengan segera, bagi membendung penularan Covid-19 di Malaysia," katanya. - Bernama