Johor mahu skim laluan RGL Malaysia-Singapura diteruskan

Datuk Ir Hasni Mohammad
Datuk Ir Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri telah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar mengekalkan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan Singapura meskipun republik itu telah menggantung skim laluan terbabit selama tiga bulan mulai Isnin.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, beliau telah menyampaikan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Perdana Menteri menyatakan perkara terbabit akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada Rabu. Selain itu, Menteri Luar juga akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Singapura.

"Kementerian Luar juga sudah menghubungi kerajaan negeri berhubung skim laluan RGL ini. Pendirian kerajaan negeri mahu skim laluan RGL diteruskan," katanya pada sidang akhbar secara maya pada Ahad.

Menurut Hasni, skim laluan RGL banyak membantu industri dan pelaburan Singapura yang mempunyai kepentingan di Johor.

Pergerakan rentas sempadan Malaysia dan Singapura menerusi laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang-alik berkala (PCA) mula dibuka mulai 17 Ogos tahun lepas.

Menerusi pelaksanaan RGL, ia membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi antara kedua-dua negara.

Bagi Skim PCA pula, penduduk Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang bagi tujuan perniagaan dan pekerjaan dibenarkan memasuki negara terbabit untuk bekerja.

Artikel Berkaitan:

Bagi kedua-dua skim itu, rakyat Malaysia dan Singapura perlu mematuhi langkah yang dipersetujui bersama oleh kedua-dua negara termasuk menjalani ujian calitan Reaksi Rantai Polimerase (PCR).

Bagaimanapun pada Sabtu, Kementerian Luar (MFA) Singapura mengeluarkan kenyataan akan menggantung peraturan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dengan tiga negara termasuk Malaysia selama tiga bulan mulai 1 Februari ini.

Dua negara lain ialah Jerman dan Korea Selatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Singapura gantung peraturan RGL dengan 3 negara termasuk Malaysia