Kerajaan tidak kompromi kes dera, salah laku kanak-kanak

Rina Harun - Foto Bernama
Rina Harun - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Hukuman tegas dan setimpal bakal menanti pesalah atas kematian kanak-kanak tujuh tahun yang dipercayai meninggal dunia akibat didera pada Jumaat lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

Menurutnya, hukuman sedemikian akan menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak termasuk yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak.

“Kementerian juga akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak dalam usaha melindungi kanak-kanak sebagai tanggungjawab bersama” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau turut berharap agar kematian kanak-kanak terbabit disiasat dengan teliti.

Dalam kenyataan sama, Rina berharap agar masyarakat turut menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan serta memupuk sikap ambil peduli kepada masalah kejiranan setempat.

“Masyarakat boleh terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, rakyat juga boleh melaporkan secara terus sebarang kejadian ke talian kasih 15999 dan talian WhatsApp 019-2615999 yang beroperasi 24 jam selain laporan juga boleh dibuat di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seluruh negara atau balai polis berdekatan.

Artikel Berkaitan:

Rina berkata, kementerian juga sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara.

Tambahnya, dasar tersebut akan menitikberatkan berkaitan kebebasan kanak-kanak daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

Menurut Rina, pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau telah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sepertimana yang tertakluk dalam Akta Kanak-kanak 2001.