PDRM tubuh pasukan petugas khas pantau kes Covid-19 di Pulapol

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia(PDRM) menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan terkini berikutan kes positif Covid-19 melibatkan 98 pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan Segamat, Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan kawalan ketat pergerakan telah mula diambil sejak Rabu lalu di kedua-dua lokasi terbabit.

"Pasukan petugas khas telah ditubuhkan bawah Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Nerita Yaacob sementara Komandan Pulapol Kuala Lumpur, Datuk Shamsudin Mat sendiri menyelia tindakan di lapangan.

"Sebagai langkah pengukuhan, jumlah warga kerja di Pulapol telah dikurangkan secara drastik, hanya mereka yang betul perlu sahaja dibenarkan keluar masuk," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pada masa sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memberi khidmat nasihat/panduan dan pihak bomba juga telah mengambil tindakan melakukan sanitasi di kedua-dua lokaliti berkenaan.

"Segala langkah ini diyakini akan berjaya menyekat penularan Covid-19 ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertimbang tujuh petunjuk sebelum tamatkan PKP, darurat

Terdahulu, seramai 98 pelatih yang sedang menjalani Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dan Segamat, Johor disahkan positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mereka yang positif adalah 78 pelatih Kadet Inspektor dari Pulapol Kuala Lumpur manakala 20 lagi membabitkan pelatih Konstabel dari Pulapol Segamat, Johor.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, kesemua pelatih telah dikuarantin dan proses sanitasi di semua asrama telah dijalankan.

"Penularan tersebut menyebabkan sesi latihan di dua pusat latihan berkenaan dihentikan buat sementara waktu.

"Buat masa ini tiada pergerakan keluar masuk dibenarkan. Hanya pergerakan untuk barang keperluan sahaja dibenarkan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.