Sabah mahu maklumat rakyat kita ditahan di Kemboja

Shafie Apdal
Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan mendapatkan butiran dan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar berhubung isu penahanan rakyat Malaysia yang sebahagian daripadanya berasal dari Sabah di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ini termasuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai punca dan alasan individu terbabit ditahan, dan setakat ini, kerajaan negeri masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara itu.

"Kerajaan negeri perlu mendapatkan butiran dan maklumat terperinci tentang mengapa mereka ditahan dan apa sebabnya, kita akan mendapatkan maklumat itu terlebih dahulu, dan jika ada keperluan untuk bantuan, sudah pasti (bantuan akan diberikan) kerana mereka adalah orang Sabah.

"Amalan biasa kita lakukan ialah kita akan meminta Kementerian Luar untuk berkomunikasi dengan rakan sejawatan mereka (di Kemboja) mengenai bagaimana kita boleh memastikan semua individu terlibat boleh kembali dengan selamat (ke Malaysia)," katanya.

Mohd Shafie berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai isu itu selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Sepanggar, di sini hari ini.

Pada 7 Februari, Kementerian Luar mengesahkan laporan berhubung penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Bantey Meanchey, Kemboja sejak 11 Disember 2018 atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Penahanan itu hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Disember 2018, dan susulan itu, pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh membuat lawatan konsular untuk bertemu tahanan bagi memastikan kesejahteraan mereka selepas menerima maklumat terperinci dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.

Berdasarkan laporan berita sebelum ini, sebahagian besar individu ditahan dikenal pasti berasal dari Sabah dan Sarawak yang pergi ke Kemboja untuk mencari pekerjaan dan pemergian mereka ke negara berkenaan dikendalikan oleh sebuah agensi pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohd Shafie ketika berucap berkata, kerajaan negeri mahu kerjasama antara semua kaum di Sabah diperkasa dan dipertahankan bagi terus mengekalkan keharmonian serta perpaduan rakyat selain memastikan pembangunan negeri lebih mampan.

Beliau juga memberi jaminan kerajaan negeri akan terus komited memastikan kemajuan Sabah yang seimbang supaya semua rakyat termasuk di kawasan pedalaman boleh turut sama merasai semua aspek pembangunan seperti pendidikan dan infrastruktur.

"Kita perlu berkongsi segala pembangunan yang ada di Sabah demi kemakmuran rakyat. Saya juga berharap masyarakat Tionghoa di Sabah dapat memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan meningkatkan pembangunan infrastruktur terutama di daerah terpencil," katanya.- Bernama