KKM serah draf naikkan kompaun ingkar SOP Covid-19

Dr Noor Hisham (kanan) ketika melawat CAC di Pengkalan Chepa pada Ahad. - Foto FB Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham (kanan) ketika melawat CAC di Pengkalan Chepa pada Ahad. - Foto FB Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menyerahkan draf cadangan kepada pejabat peguam negara (AGC) untuk menaikkan kompaun kepada pesalah yang ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan mengambil kira perkembangan semasa Covid-19 terdapat keperluan untuk meminda Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Untuk kompaun di bawah Akta 342, maksimum denda yang dikenakan ialah RM1,000 sahaja dan ia didraf pada tahun 1988. Jadi memang ada keperluan untuk kita membuat pindaan dan kita gunakan Ordinan Darurat untuk tujuan itu," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 risiko rendah (PKRC) di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik), Kota Bharu pada Ahad yang turut disertai Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin.

Dr Noor Hisham juga turut melawat melawat Covid-19 Assessment Centre (CAC) di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa dan sebanyak 17 CAC telah ditubuhkan di 10 daerah negeri Kelantan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sudah tiba masanya nilai kompaun dinaikkan: KPN

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berpendapat nilai kompaun kepada pesalah yang melanggar SOP PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes Covid-19 di negara ini.

Katanya, pertimbangan kenaikan kadar kompaun itu bagi memastikan tiada kesalahan berulangan berlaku khususnya membabitkan pusat-pusat hiburan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas PKP kali ini agak longgar serta PKP disambung, Dr Noor Hisham berkata, tugas KKM ialah memberi nasihat dan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan tindakan.

"Kita bincang isu dan cabaran yang ada iaitu mempertimbangkan dari segi kesihatan dan juga ekonomi. Jadi untuk mendapatkan kata putus pelaksanaan (sambung PKP) kita kena berbincang semula untuk melihat tindakan sesuai.

"Sekarang ini negeri Selangor kes meningkat, adakah kita akan bersasar ke Selangor kita akan bincang," jelasnya.