JKM bakal terima pegawai pelindung kanak-kanak, pegawai akhlak

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan mahu menyegerakan pengambilan tambahan Pegawai Pelindung Kanak-Kanak dan Pegawai Akhlak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memantau serta menyiasat kes berkaitan masalah kekeluargaan termasuk kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata, pihaknya akan melakukan pengambilan secara berperingkat selepas perkara itu diluluskan dua hari lalu.

Menurutnya, kelulusan itu membabitkan 208 bagi Pegawai Pelindung Kanak-Kanak dan 200 lagi Pegawai Akhlak yang akan berkhidmat di 108 pejabat JKM seluruh negara.

"Pengambilan itu dilakukan secara berfasa dan akan dimulakan segera kerana ia satu keperluan.

" Kita juga telah merujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengenai calon yang sudah ditemuduga lebih awal supaya dapat mengisi perjawatan berkenaan dengan segera, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat keluarga angkat kepada kanak-kanak yang meninggal dunia dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya, di Homestay Kampung Sungai Putat, Batu Berendam di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Rina berkata, setakat ini terdapat 264 Pegawai Pelindung Kanak-Kanak manakala 200 Pegawai Akhlak yang sedia ada di seluruh negara.

Menurutnya, JKM juga telah mengemukakan sebanyak 1,122 permohonan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengisi kekosongan bagi dua jawatan itu.

Artikel Berkaitan:

"Pegawai Pelindung Kanak-Kanak memainkan peranan penting untuk urusan berkaitan anak angkat dan proses perangkatan.

"Kita juga menasihatkan agar ibu bapa yang mengambil anak angkat namun masih belum membuat permohonan perangkatan agar berhubung dengan JKM bagi memastikan tidak berlaku seperti keluarga angkat ini yang mempunyai surat akuan sumpah (penyerahan bayi) sahaja," katanya.