Tiada kegiatan letupan bom di Sabah, Labuan: Acryl Sani

ACRYL SANI
ACRYL SANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan bunyi letupan dan gegaran yang dirasai penduduk di beberapa tempat di Sabah dan Labuan pagi Ahad, polis menjelaskan tiada sebarang kegiatan meletupkan bom yang dilakukan pihak berkuasa di kawasan terbabit pada Ahad.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama.

“Saya telah semak dengan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) dan tiada sebarang letupan dibuat. Kemungkinan letupan yang didengari itu berpunca daripada aktiviti melibatkan petroleum. Boleh semak dengan Petronas,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada laporan berlaku letupan di Sabah

Beliau berkata, setakat ini, polis tidak menerima laporan daripada penduduk berhubung insiden itu dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan punca letupan serta gegaran tersebut.

Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran pada kira-kira jam 11 pagi.

Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai selama kira-kira 10 saat.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan bunyi letupan dan gegaran itu tiada kaitan dengan Latihan Perang Borneo 1/21 pasukan keselamatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jurucakap TLDM berkata latihan perang itu yang bertujuan mempersiapsiagakan aset Armada Timur di sini hanya dilaksanakan pada Khamis lepas.

"Negatif, bukan daripada TLDM memandangkan Latihan Perang Borneo berlaku pada 28 Januari sahaja," menurutnya dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Azmir Abdul Razak menafikan dakwaan pengguna media sosial bahawa kerja-kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan baru-baru ini menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom dilakukan pada Sabtu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!