Tiada jumlah ditetapkan untuk usaha tanah terbiar

Razman (duduk, dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai Model dan Inisiatif Baharu Ekonomi Komuniti (MIBEK) oleh Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek (berdiri) di Pusat Internet Komuniti Simpang 4 Rungkup, Bagan Datuk pada Ahad.
Razman (duduk, dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai Model dan Inisiatif Baharu Ekonomi Komuniti (MIBEK) oleh Pengerusi Eksekutif IGROW, Nordin Abdul Malek (berdiri) di Pusat Internet Komuniti Simpang 4 Rungkup, Bagan Datuk pada Ahad.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan Perak tidak menetapkan sebarang jumlah keluasan tertentu tanah terbiar untuk diusahakan oleh rakyat di negeri ini bagi tujuan pertanian.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, mana-mana pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pertanian untuk mengusahakan tanah terbiar boleh berunding dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Menurutnya, setelah permohonan diterima kerajaan negeri akan melihat kesesuaian dan syarat berkaitan sebelum diluluskan untuk memastikan ia benar-benar diusahakan.

"Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, ada permohonan yang diluluskan namun akhirnya tidak dibangunkan dan tanah kembali terbiar disebabkan tiada kepakaran atau kemampuan.

"Bagi yang meneroka tanah kerajaan secara haram, kita sedang berusaha untuk memberikan mereka Lesen Pendudukan Sementara (LPS) supaya mereka mematuhi peraturan dan tidak mengganggu pihak lain," katanya kepada pemberita selepas Sesi Lawatan dan Penerangan Bersama Koperasi Bersepadu Rungkup Berhad di Pusat Internet Komuniti Simpang 4 Rungkup, di sini pada Ahad.

Menurutnya, bagi kawasan-kawasan tertentu terutama dalam kawasan bandar, tempoh pajakan bagi tanah terbiar dibuat mengikut perancangan asal tanah tersebut yang disesuaikan dengan tanaman kontan.

Razman berkata, bagi kawasan luar bandar pula tempoh pajakan akan dibuat mengikut keperluan dan status tanah tersebut.

Jelasnya, kerajaan negeri sangat komited dalam usaha memastikan tanah-tanah terbiar menjadi produktif bukan sahaja tanah milik kerajaan tetapi tanah persendirian.

Artikel Berkaitan: