X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada maklumat terperinci: Exco Perak

Razman (tiga dari kanan) meninjau kawasan tanah yang dibangunkan untuk ternakan udang yang dibantah penduduk di sini pada Ahad.
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan Perak akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan cadangan projek penternakan udang di rizab Sungai Segari seperti didakwa penduduk.

Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, sebarang kegiatan akuakultur atau pembangunan di kawasan paya bakar perlu dilakukan secara lestari.

Menurutnya, perkara yang paling penting dalam sebarang pelaksanaan pembangunan adalah penguatkuasaan undang-undang serta kebenaran yang diberikan untuk sesuatu projek itu.

"Kita belum dapat maklumat lanjut dan tengok keadaan sebenarnya sebagaimana dimaklumkan bahawa terdapat satu kawasan tanaman (bakau) dan akuakultur.

"Sama ada ternakan udang dibuat di luar zon akuakultur itu, kita nak tengok pembangunan di peringkat pengezonan. Kita akan dapatkan maklumat terperinci mengenainya," katanya selepas mengadakan Sesi Lawatan dan Penerangan Bersama Koperasi Bersepadu Rungkup Berhad di Pusat Internet Komuniti Simpang 4 Rungkup, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar mengenai kekecewaan penduduk mengenai aktiviti pembersihan yang dijalankan oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhampiran rizab Sungai Segari, Manjung kerana memusnahkan anak pokok bakau yang baharu ditanam.

Menurut penduduk, aktiviti tersebut dipercayai bagi memberi laluan untuk projek kolam udang yang dikhuatiri akan menjejaskan mata pencarian nelayan pesisir pantai.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/121625/EDISI/Perak/Penduduk-kecewa-anak-pokok-bakau-musnah]

Sementara itu, mengenai isu ternakan udang oleh sebuah syarikat swasta di atas tanah milik PKNP di Rungkup, Razman berkata, kerajaan negeri akan melihat punca kuasa terhadap isu berkenaan untuk membantu menyelesaikan masalah yang diutarakan penduduk.

Pada 22 November tahun lalu, penduduk Kampung Sungai Burung, Kampung Rungkup Kecil dan Kampung Simpang Empat Rungkup di sini mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah projek pembangunan kolam udang di atas tanah seluas kira-kira 47 hektar di Mukim Bagan Datuk.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Harapkan pembangunan tapi dapat kolam udang'


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!