Enam lokasi cadangan Rumah Mampu Milik

Alias
Alias
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengemukakan sebanyak enam lokasi bagi pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, lokasi yang terlibat ialah daerah Marang, Dungun dan Besut.

"Kita telah menghantar senarai kawasan untuk cadangan pembinaan RMM kepada kerajaan Pusat di mana kawasan terlibat ialah di Kuala Abang, Dungun (310 unit), Mak Kemas, Marang (210), Pulau Kerengga, Marang (396), Bukit Puteri, Besut (300), Bukit Gasing, Marang (190) dan Gong Medang, Besut (400)," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan tambahan oleh Datuk Muhammad Pehimi Yusof (BN-Jertih) mengenai enam tapak yang dicadangkan oleh kerajaan negeri kepada kerajaan Pusat bagi pembinaan RMM dalam sidang Dun, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Alias berkata, enam tapak itu membolehkan sebanyak 1,848 unit RMM dibina di bawah kerajaan Pusat.

"Kita harap tapak yang dikemukakan dapat dipersetujui dan peruntukan diberi tahun depan. Kita juga berharap agar dengan adanya rumah ini ia dapat menyelesaikan sebahagian besar keperluan perumahan selain sebanyak 710 buah rumah dibina di bawah kerajaan negeri dan swasta.

"Kita juga menjangka empat daerah yang kini dalam proses pembinaan sebanyak 2,151 unit RMM diselesaikan di mana yang akan disiapkan dalam masa terdekat di Seri Bandi dan Pulau Redang.

"Sekiranya semua lokasi ini dapat berjalan dalam tempoh yang ditetapkan, kita akan dapat 5,000 unit rumah dalam tempoh dua tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Alias berkata, kerajaan negeri merancang membina RMM di setiap daerah yang sepenuhnya dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri (PMINT) dan KPKT.

"RMM mampu milik 100 peratus dibuat oleh agensi di bawah negeri dan Pusat, lain-lain adalah rumah yang dibuat dengan kerjasama pemaju dan pihak swasta.

"Kriterianya mestilah jumlah permohonan di kawasan terlibat dan tapak tanah yang telah siap ditambun," katanya bagi menjawab soalan tambahan daripada Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas- Kemasik) mengenai inisiatif kerajaan dalam membina RMM dan kriteria membolehkan satu-satu Dun menerima projek perumahan itu.