Cubaan rentas negeri hantar pakaian bundle gagal

Seorang lelaki warga India ditemui bersembunyi dalam timbunan pakaian bundle yang hendak dihantar ke daerah Kemaman dari Selangor, dalam rondaan dilakukan di lokasi pagi Ahad - Foto Ihsan PDRM
Seorang lelaki warga India ditemui bersembunyi dalam timbunan pakaian bundle yang hendak dihantar ke daerah Kemaman dari Selangor, dalam rondaan dilakukan di lokasi pagi Ahad - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

KEMAMAN - Cubaan dua lelaki termasuk seorang warga India merentas negeri dengan alasan mahu menghantar pakaian terpakai ke daerah ini gagal selepas ditahan di jalan sempadan Pahang-Terengganu di Chendor, di sini, pada Ahad.

Lelaki dan seorang warga India berusia 40-an yang dijumpai bersembunyi di belakang lori bersama bekalan pakaian terpakai itu ditahan kira-kira jam 1 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota pemantau kerana dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemeriksaan di tempat simpanan barang di bahagian belakang menemui seorang lelaki warga India bersembunyi di dalam timbunan bekalan pakaian tersebut.

"Hasil soal siasat, mereka memaklumkan dalam perjalanan dari Selangor ke Kemaman untuk menghantar pakaian bundle namun surat dikemukakan pemandu terbabit menggunakan nama individu lain.

"Warga India itu pula gagal menunjukkan kebenaran rentas negeri daripada polis atau penguat kuasa yang berkaitan.

"Pemandu lori terbabit mendakwa terpaksa membawa lelaki itu bagi menggantikan kelindannya yang tidak dapat bekerja saat akhir atas beberapa faktor," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Dua lelaki nyaris maut selepas pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam parit dalam usaha melarikan diri dari SJR di Jalan Kampung Neram-Bukit Goh, Kemaman petang Sabtu - Foto Ihsan PDRM
Dua lelaki nyaris maut selepas pacuan empat roda dinaiki terjunam ke dalam parit dalam usaha melarikan diri dari SJR di Jalan Kampung Neram-Bukit Goh, Kemaman petang Sabtu - Foto Ihsan PDRM

Katanya lagi, siasatan juga mendapati mereka sebelum ini sudah melepasi empat sekatan jalan raya (SJR) dari Selangor untuk ke Terengganu sebelum ditahan di lokasi itu.

Artikel Berkaitan:

Hanyan berkata, pemandu lori terbabit yang menggunakan surat individu lain dikompaun RM1,000 kerana melakukan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala warga India itu direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, dua lelaki termasuk seorang warga Bangladesh nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terhumban ke dalam parit berhampiran sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kampung Neram - Bukit Goh, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 47 tahun dikatakan cuba mengelak ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di lokasi kerana tindakan merentas negeri tanpa kebenaran menggunakan laluan 'rahsia' di sempadan Pahang dan Terengganu.

Hanyan berkata, siasatan awal mendapati kedua-duanya dipercayai dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Felda Neram, di sini, namun sebaik nampak SJR di lokasi kejadian, pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu lelaki tempatan itu cuba membuat pusingan U sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam parit sedalam 0.3 meter.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua lelaki itu tidak mempunyai surat kebenaran untuk merentas negeri daripada polis," katanya.