Polis kesan laluan 'hotspot' lori bawa muatan berbahaya

Anggota polis keluarkan saman terhadap pemandu lori yang membawa muatan berlebihan dalam rondaan di sekitar Iskandar Puteri pada Sabtu.
Anggota polis keluarkan saman terhadap pemandu lori yang membawa muatan berlebihan dalam rondaan di sekitar Iskandar Puteri pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri mengenal pasti kawasan 'hotspot' yang digunakan pemandu lori untuk membawa muatan berbahaya bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, antara lokasi dikenal pasti ialah di Kampung Tiram Duku, Tanjung Kupang, Jalan Tebing Runtuh, Lebuhraya Iskandar Sultan dan Jalan Nusa Sentral.

"Ini adalah hasil rondaan penguatkuasaan yang dilakukan polis bermula kira-kira jam 11 pagi semalam (Sabtu).

"Dalam operasi itu, polis berjaya menjejaki pemandu lori yang cuba mengambil kesempatan pada cuti hujung minggu dengan membawa muatan secara berbahaya bagi mengelak aktiviti dihidu pihak penguat kuasa.

"Sepanjang operasi tersebut, lima buah lori yang membawa muatan secara berbahaya berjaya ditahan dan 12 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, tindakan berbahaya tanpa mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain demi keuntungan perniagaan adalah antara kesalahan diberi perhatian serius oleh pihak polis.

Katanya, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dalam menangani kesalahan lalu lintas bagi menurunkan kadar kemalangan dan pelanggaran undang-undang jalan raya.

"Justeru, pihak polis berharap kerjasama daripada masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kesalahan lalu lintas dapat dipertingkatkan khususnya di kawasan Iskandar Puteri," katanya.

Artikel Berkaitan: