X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah dalam sukan boleh rencatkan pembangunan atlet

Rasuah dalam industri sukan boleh merencatkan pembangunan atlet negara jika tidak dibanteras sepenuhnya. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Isu rasuah bukanlah masalah baharu di Malaysia, sebaliknya sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.

Pelbagai sektor sebenarnya terkait dengan isu berkenaan walaupun tindakan tegas telah diambil pihak berkuasa dalam menangani penyakit sosial itu termasuklah dalam industri sukan yang boleh merencatkan pembangunan atlet negara sekiranya masalah tersebut tidak dibanteras sepenuhnya.

Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan, malah mengatur perlawanan, penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan juga ditakrifkan sebagai rasuah.

Menurut laman rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Rasuah (SPRM) www.sprm.gov.my, suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam jawapan bertulis kepada Bernama, bagaimanapun berkata, jika dilihat daripada konteks perkembangan atlet negara, isu rasuah dalam sukan masih berada pada tahap terkawal.

Bagaimanapun KBS menegaskan, langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dari masa ke masa untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.

Menurut KBS, sebagai usaha berterusan Pesuruhjaya Sukan (PJS) berhasrat meneruskan program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bagi memastikan semua badan sukan kebangsaan bebas daripada budaya tidak sihat itu dan menyebarkan lagi semangat bebas rasuah kepada semua ahli gabungannya.

Melihat kepada trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia, kebanyakannya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan, yang biasanya berlaku apabila pertaruhan dalam sukan semakin berleluasa.

Misalnya, pada 2018, dua pemain badminton profesional negara Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang digantung daripada menyertai sebarang kejohanan masing-masing selama 20 dan 15 tahun oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas didapati bersalah terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendenda 17 pemain pasukan Kuala Lumpur sebanyak RM5,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan terbabit dengan skandal rasuah dan mengatur perlawanan.

Kesemua pemain terbabit hanya dikenakan denda selepas FAM mengambil kira faktor bahawa mereka menjadi 'mangsa keadaan' penaja yang mendesak mereka supaya terlibat dengan skandal tersebut.

Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Sukan Dr Wirdati Mohd Radzi yang juga pengamal undang-undang, turut senada dengan KBS dan berpendapat lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk membanteras rasuah dalam sukan.

“Banyak kes (rasuah dalam sukan) yang mungkin tidak dilaporkan.

“Jadi, tidak dapat mengetahui secara tepat betapa besarnya kesan ini kerana tidak ada laporan. Persatuan tidak lapor mungkin ada banyak sebab. Jadi saya minta ahli persatuan tampil untuk membantu mengurangkan atau buang terus gejala ini dalam sukan di Malaysia.

“Apa yang membimbangkan, ia boleh menutup peluang pembangunan sukan kerana wang yang sepatutnya disalurkan kepada pembangunan sukan tidak sampai kepada atlet,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Jelasnya, badan sukan tidak sepatutnya terlepas daripada dikenakan tindakan jika disabitkan kesalahan, dan jika kesalahan itu membabitkan persatuan, hanya ahli persatuan boleh membuat laporan kerana mereka terikat dengan perlembagaan persatuan sukan masing-masing.

Katanya, melainkan jika kesalahan yang dilakukan berkait dengan orang awam maka orang awam berhak untuk melaporkan salah laku berkenaan bersama dengan bukti yang kukuh.

Wirdati turut memaklumkan antara faktor gejala rasuah dalam sukan kurang dilaporkan disebabkan kurangnya kesedaran atau pendedahan mengenai hal tersebut dalam komuniti sukan.

“Bila kita dapat mendidik sepenuhnya khalayak sukan, insya-Allah kita akan dapat lihat perubahan. Persatuan pun kena dibantu oleh peguam atau pengamal undang-undang untuk membantu mereka bawa kes kepada pihak berwajib.

“Rasuah bukan benda main-main. Sukan juga tidak terlepas daripada akta rasuah,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!