Kes dera: Manfaatkan SMS MKN tingkat kesedaran komuniti

Dr Wan Azizah (kiri) dan Hannah
Dr Wan Azizah (kiri) dan Hannah
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa memanfaatkan platform sistem pesanan ringkas (SMS) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meningkatkan kesedaran komuniti dan mempromosikan nombor Talian Kasih bagi melaporkan kes penderaan.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dalam kenyataan bersama pada Ahad berkata, ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), perkhidmatan Talian Kasih telah diperluaskan kepada aplikasi WhatsApp.

“Selain itu, kami juga bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pelbagai syarikat korporat bagi mempromosi nombor kecemasan ini di lebuh raya, rangkaian farmasi, mengiklankannya di Google, dalam perkhidmatan bas, MRT dan LRT, syarikat telekomunikasi, papan iklan malah sehingga ke 35 lokasi melibatkan 282 panggung wayang di seluruh negara,” katanya

Dr Wan Azizah merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) manakala Hannah berkhidmat sebagai timbalan menteri.

Kenyataan mereka dibuat susulan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya pada petang Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak maut lemas dalam tong disyaki didera

Artikel Berkaitan:

Budak mati disyaki didera: Ibu, bapa tiri direman tujuh hari

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kanak-kanak malang terbabit didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, bagaimanapun siasatan mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah dan Hannah berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bukan sahaja memberi kesan buruk kepada ekonomi dan kewangan negara tetapi ia turut menjejaskan institusi kekeluargaan.

“Kami menggesa kerajaan PN dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) khususnya, untuk kembali fokus kepada isu keselamatan kanak-kanak kerana merekalah nadi dan penentu masa depan negara kelak,” ujarnya.

Kenyataan itu turut menggesa agar bilangan Pelindung Kanak-kanak ditambah dan memberikan latihan dari masa ke masa kepada pegawai sedia ada bagi memenuhi keperluan menangani isu kanak-kanak.

Mereka juga menyarankan agar kursus praperkahwinan ditambah baik dengan mewajibkan topik keibubapaan untuk mengelakkan ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka.

“Sebelum ini, usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan dilakukan dengan memperluaskan kursus keibubapaan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan melancarkan Direktori Perkhidmatan Keluarga sebagai ‘one stop centre’ yang memberikan khidmat sokongan kepada ahli keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.