Jalan Sutera abad ke-21

A
A
A

MALAYSIA telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Uzbekistan pada 21 Februari 1992.

Malaysia merupakan negara Asia Tenggara yang paling awal mengiktiraf Uzbekistan sebaik sahaja mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1992 setelah kejatuhan Soviet Union (USSR).

Kedua-dua negara itu mempunyai beberapa persamaan. Malaysia dan Uzbekistan mempunyai kedudukan yang amat strategik kerana terletak di tengah-tengah rantau masing-masing.

Uzbekistan bersempadan dengan semua negara Asia Tengah (Kazakhstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Kyrgyzstan). Begitu juga Malaysia yang berkongsi sempadan hampir semua negara di Asia Tenggara.

Kedua-dua negara terletak dalam jalan perdagangan antarabangsa. Melaka terkenal sebagai pusat perdagangan dan penyebaran Islam pada abad ke-15. Uzbekistan juga pernah menjadi pusat pengajian dan peradaban Islam yang unggul.

Sejak dahulu lagi, Uzbekistan menjadi sebahagian laluan perdagangan yang dikenali sebagai Jalan Sutera (Silk Road).

Malaysia dan Uzbekistan mempunyai jumlah penduduk yang hampir sama (kira-kira 33 juta orang) dan majoriti beragama Islam.

Di Uzbekistan, 98 peratus daripada penduduknya beragama Islam dan selebih dua peratus beragama Kristian Orthodox Rusia.

Artikel Berkaitan:

Namun, hak penduduk minoriti di Uzbekistan seperti di Malaysia terpelihara dan hidup harmoni. Kedua-dua negara juga kaya dengan sumber alam semula jadi seperti minyak dan gas asli, besi keluli dan gangsa.

Ramai penduduk Malaysia dan Uzbekistan tidak mengenali satu sama lain akibat politik Perang Dingin.

Ketika itu, penduduk Malaysia hanya mengenali USSR, namun sebaik sahaja kejatuhan USSR dan kemerdekaan Uzbekistan, hubungan diplomatik Malaysia-Uzbekistan telah terjalin.

Hubungan itu semakin berkembang pesat dalam tempoh 29 tahun yang lalu.

Dari segi hubungan bilateral, kedua-dua negara telah menyaksikan kunjungan hormat pemimpin tertinggi, misalnya Presiden Uzbekistan yang pertama, Presiden Islam Karimov membuat kunjungan hormat ke Malaysia pada tahun1992 dan 2005.

Beliau merupakan pemimpin dari Asia Tengah yang pertama melawat Malaysia.

Begitu juga Perdana Menteri Malaysia telah melawat Uzbekistan sebanyak dua kali. Pertama, ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1993 dan kali kedua semasa pentadbiran Tun Abdullah Badawi pada tahun 2008.

Malah, pemimpin tertinggi negara, Yang di-Pertuan Agong ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail telah berangkat melawat Uzbekistan pada tahun 2003.

Pada 1993, Malaysia telah mendirikan kedutaannya di Tashkent, ibu kota Uzbekistan, manakala kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur telah didirikan pada tahun1999.

Kerjasama

Malaysia dan Uzbekistan bekerjasama dalam perdagangan serta pelaburan khasnya dalam perlombongan minyak dan gas asli. Petronas telah mengadakan memorandum kerjasama dengan syarikat minyak Uzbekistan seperti UzbekNefteGaz (UNG).

Pada tahun 2008, Petronas, melalui anak syarikat Petronas Carigali Overseas Sdn Bhd menandatangani perjanjian perkongsian pengeluaran dengan Uzbekistan untuk membangunkan projek menjadikan gas asli ke cecair di kawasan Urga, Kuanish dan Akhchalak yang terletak di Ustyurt.

Malaysia dan Uzbekistan juga berpotensi membangunkan industri pelancongan. Uzbekistan menawarkan pakej lawatan ke bandar-bandar yang pernah menjadi sebahagian daripada Jalan Sutera seperti Samarkand dan Bukhara.

Malaysia pula menjadi destinasi pelancong dari Uzbekistan untuk menikmati hutan tropika dan keindahan pantai yang tiada di negara mereka.

Kerajaan Malaysia melalui Malaysian Technical Cooperation Program (MCTP) telah bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan Uzbekistan melatih kakitangan kerajaan dalam pelbagai bidang kepakaran.

Malaysia dan Uzbekistan juga mempunyai kerjasama dalam bidang pendidikan. Kedua-dua kerajaan telah menandatangani memorandum kerjasama dalam pendidikan pada tahun 2014.

Pada tahun 2018, perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan berjumlah 78.3 juta dolar AS. Angka itu dijangka meningkat terutama selepas pandemik Covid-19.

Malaysia berpotensi sebagai gerbang bagi pelabur, pelajar dan pelancong Uzbekistan ke rantau Asia Tenggara. Pada masa yang sama, Uzbekistan juga berperanan sebagai ‘jambatan’ menyambung Malaysia ke Jalan Sutera baharu di Asia Tengah.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya