Timbang hukuman yang mendidik

A
A
A

KENYATAAN Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk Shaary supaya hukuman terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ditingkatkan telah mengundang reaksi negatif daripada golongan liberal termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Mereka mencemuh kenyataan itu kerana mendakwa ia menghakis hak asasi manusia, khususnya golongan LGBT. Golongan itu mendakwa mereka mempunyai hak di sisi undang-undang agar tidak dizalimi atau di-diskriminasi.

Meneliti kenyataan Timbalan Menteri itu, apa yang saya faham ialah beliau bermaksud hukuman yang ada sekarang tidak mencukupi untuk menangani gejala LGBT sama ada melalui undang-undang syariah mahupun undang-undang sivil.

Undang-undang syariah menjadikan liwat, lelaki berpakaian wanita dan lainnya adalah kesalahan yang boleh didakwa di mahkamah syariah, manakala undang-undang sivil antara lainnya menjadikan seks di luar tabie juga adalah kesalahan yang boleh didakwa.

Oleh sebab Timbalan Menteri tersebut memegang portfolio agama, saya percaya beliau merujuk kepada hukuman di mahkamah syariah yang begitu ringan iaitu tidak melebihi tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan syariah. Walhal di mahkamah sivil, hukumannya jauh lebih tinggi bagi kesalahan seks luar tabie.

Kenyataan Timbalan Menteri itu bukanlah bermaksud seseorang yang mengamalkan LGBT boleh sewenang-wenangnya dicederakan, ditahan ataupun dinafikan hak-hak lain. Ia hanya merujuk kepada hukuman ringan tersebut perlu diperkukuhkan lagi.

Sebagaimana biasa, apabila disentuh perkara mengenai LGBT, pasti ada puak liberal tegar yang melompat untuk mempertahankan mereka walaupun kenyataan yang diberikan berada dalam ruang lingkup undang-undang yang berkuat kuasa.

Saya melihat peningkatan hukuman kepada kesalahan berkaitan LGBT khasnya dan kesalahan jenayah syariah amnya perlu dilakukan, bukan sahaja dengan menaikkan kadar hukuman denda, penjara atau sebatan syariah tetapi juga memberi variasi kepada jenis hukuman tersebut supaya tidak lagi terhad kepada hukuman tradisional seperti denda penjara dan sebatan syariah.

Artikel Berkaitan:

Jenis hukuman itu boleh diperluaskan lagi seperti hukuman berbentuk restoratif, hukuman yang mendidik jiwa dan khidmat masyarakat.

Oleh sebab kebanyakan kesalahan jenayah syariah adalah kesalahan yang ‘tidak mempunyai mangsa’, sangat wajar kita mempertimbangkan hukuman alternatif.

Hal itu tidak dapat dilakukan selagi Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) tidak dipinda.

Sudah sampai masanya akta berkenaan dipinda bagi mengukuhkan lagi perundangan Islam dan tidak disekat melalui akta tersebut.

Namun, negara kini telah diisytiharkan darurat dan Parlimen pula digantung menurut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan yang bermakna Parlimen tidak boleh bersidang untuk membuat undang-undang.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong ketika proklamasi darurat berkuat kuasa masih boleh membuat ordinan yang tidak perlu dibentang di Parlimen sebagai undang-undang.

Kita sudah lihat betapa sukarnya untuk meminda Akta 355 di Parlimen suatu ketika dahulu.

Pelbagai tohmahan dilontarkan kepada institusi Islam. Mungkin Yang di-Pertuan Agong boleh mewujudkan ordinan tertentu bagi meningkat dan memperluaskan hukuman yang diberikan kepada mahkamah syariah sekurang-kurangnya dalam tempoh darurat ketika ini.

Setiap saranan syor atau kritikan mestilah dibuat dalam kerangka undang-undang Malaysia, bukan hanya mengimport norma dari luar untuk disemai di Malaysia yang penuh dengan tata susila, adab dan sopan santun. Budaya leluhur kita mestilah kita pertahankan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia