Pengusaha pusat cuci kenderaan rayu benarkan beroperasi

Tangkap layar kenyataan Najib di laman facebook miliknya mengenai isu pusat cucian kereta.
Tangkap layar kenyataan Najib di laman facebook miliknya mengenai isu pusat cucian kereta.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pengusaha dan pemilik pusat cucian kereta di Pulau Pinang memohon kerajaan pertimbangkan kebenaran untuk mereka menjalankan semula perniagaan yang ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Jurucakapnya, Farid Suwardi Mat Yusoff berkata, pihaknya hairan sehingga hari ini sektor perniagaan diusahakan mereka tidak dibenarkan beroperasi sedangkan perkhidmatan disediakan seiring dengan saranan kerajaan dalam meningkatkan kekerapan aktiviti cucian dan pembersihan yang terbukti dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, pihaknya sedar akan pertambahan kes positif harian yang meningkat secara mendadak ketika ini sehingga mencetuskan kebimbangan seluruh rakyat dan pengusaha pusat cucian kenderaan sebenarnya mahu memainkan peranan dalam membantu kerajaan dalam usaha menangani virus ini.

"Sektor kami bukan sahaja memberi perkhidmatan cucian semata-mata, malah kami juga melaksanakan perkhidmatan pembasmian kuman bagi bahagian dalaman kenderaan yang mana kami menggunakan bahan sanitasi nyahkuman Covid-19 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

"Perkhidmatan ini dilakukan atas inisiatif kami bagi setiap kenderaan yang ingin dicuci untuk mengelakkan penularan virus kepada pekerja dan pelanggan lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Farid Suwardi yang mengusahakan Pusat Cucian Yuhaso Detailng Venture di kawasan Nibong Tebal mengakui pusat cucian kenderaan sering kali menjadi tempat tumpuan ramai berkumpul namun pihaknya sedar akan tanggungjawab bagi memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Katanya, perniagaan pusat cucian kereta merupakan sektor yang melaksanakan pembersihan yang lebih sistematik yang mana tidak melibatkan sentuhan fizikal.

"Sebenarnya sektor perniagaan kami boleh membantu memberi perlindungan sampingan sekali gus membantu kerajaan mengawal penularan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Kenapa kami (pusat cucian kereta) tidak dibenarkan beroperasi sedangkan bengkel kereta, kedai menjual aksesori kereta dibenarkan dibuka sewaktu PKP?

"Bermula daripada PKP tahun lalu lagi, pihak kami telah mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara walaupun mengalami kemoeosotan dalam perniagaan kami namun kini kami sudah sudah perit menghadapi ujian dalam perniagaan ini," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan pengusaha mengalami penyusutan pendapatan sehingga 85 peratus sebelum ini malah ada juga yang terpaksa menutup perniagaan mereka berikutan tidak mampu menanggung bebanan kos operasi perniagaan.

Bagi mendapatkan perhatian daripada kerajaan, Farid Suwardi berkata, pihaknya telah menghantar petisyen kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertimbangkan rayuan mereka.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut membangkitkan isu sama di laman Facebooknya pada Sabtu.

Najib dalam tulisannya berkata: 'kilang kereta boleh buka, bilik pameran kereta boleh buka, pusat servis boleh buka, bengkel kereta boleh buka, kedai aksesori kereta boleh buka, tapi car wash tak boleh buka sebab PKP.

"Pelik tapi benar."