UMNO perlu belajar dari LDP Jepun

A
A
A

DUA tulisan mutakhir sebelum ini memberi gambaran jelas mengapa kepimpinan Perdana Menteri sangat genting dan ibarat telur di hujung tanduk.

Namun, itu tidak bermakna Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerah dengan mudah dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun ini. Lebih penting, majoriti rakyat juga tidak berminat melihat ia dilaksanakan dalam keadaan pandemik Covid-19 belum dikawal sebaiknya.

Malah, jika Muhyiddin berundur sekalipun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) mungkin tidak jatuh kerana ika-tan yang ada ini boleh diteruskan dengan melantik Perdana Menteri baharu dalam kalangan ahli Parlimen yang telah bersetuju membentuk kerajaan pada Mac 2020.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyatakan UMNO perlu kembali menjadi parti peneraju bagi memulihkan keadaan negara.

Namun, adakah UMNO telah bersedia mengambil alih kepimpinan negara sama ada melalui pemilihan ahli Parlimen atau PRU?

Dalam tempoh sebulan ini juga, kita melihat ada pergolakan baharu dalam UMNO. Ada ‘perang saudara’ kecil antara kumpulan yang mahu keluar daripada PN dengan kumpulan yang mahu kekal bersama kerajaan itu.

Pada masa yang sama, usaha untuk keluar daripada kerajaan itu terpecah dua lagi iaitu untuk bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP serta yang mahu bergerak solo.

Mungkin jalan terbaik ialah UMNO mengadakan pemilihan kepimpinan lebih awal bagi membolehkan pucuk pimpinan parti sama ada yang baharu atau sedia ada mendapat mandat baharu.

Artikel Berkaitan:

Telah banyak perubahan politik sama ada peringkat negara atau dalam parti yang memerlukan ahli membuat penilaian semula hala tuju parti.

Apa yang berlaku kepada UMNO hari ini tidak banyak berbeza dengan yang terjadi kepada Parti Liberal Demoktarik Jepun (LDP) yang hilang kuasa pemerintahan pada 1993.

LDP seperti UMNO mempunyai sejarah memegang kuasa politik selama berdekad lamanya.

Kedua-dua parti meletakkan tanda kemunculan mereka dalam pentadbiran negara pada PRU 1955. Ketika LDP tumbang pada 1993, UMNO mampu bertahan selama 25 tahun lagi sebelum tumbang pada 2018.

Kejatuhan Faktor kejatuhan juga hampir serupa iaitu parti telah terlalu lama berkuasa terpalit dengan pelbagai dakwaan korupsi dan berlaku perpecahan sebelum pilihan raya.

Pasca PRU juga tidak banyak berbeza. Seperti Malaysia selepas Mei 2018, Jepun pada 1993 juga menjadi tidak stabil kerana LDP masih merupakan parti terbesar dan terkuat.

Kerajaan yang dibentuk oleh parti-parti kecil yang kesemuanya tidak mempunyai perwakilan besar untuk menjadi stabil, namun bersatu hati menentang LDP yang sudah terlalu lama memerintah.

Jika Pakatan Harapan (PH) mampu kekal hampir dua tahun, gabungan parti baharu di Jepun hanya bertahan setahun. Pada 1994, Parti Sosialis Jepun (JPS) dan Parti Sakigake bersama LDP telah membentuk kerajaan baharu.

Pada tahun 1995 LDP melakukan perubahan dalaman parti sebagai persediaan PRU seterusnya. Presiden LDP, Yohei Kono mengambil keputusan berundur daripada jawatan Presiden.

Ryutaro Hashimoto menang sebagai Presiden LDP.

Setahun kemudian LDP mengambil alih jawatan Perdana Menteri Jepun daripada Tomiichi Murayama sebelum PRU yang berikutnya.

Apa yang UMNO boleh ambil iktibar daripada pergelutan politik Jepun pada 1993 adalah parti terbesar itu perlu bersedia untuk mengambil alih kerajaan apabila diperlukan.

UMNO memerlukan calon Perdana Menteri yang diterima oleh parti-parti yang membentuk kerajaan campuran itu atau yang diterima pengundi se-andainya berhadapan PRU.

Jika dilihat kecelaruan dan hiruk-pikuk UMNO sejak beberapa bulan ini, ternyata masih banyak perlu dilakukan bagi meyakinkan ahli Parlimen parti lain mahu pun pengundi.

*AB Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)