X

Kindly register in order to view this article
!

Lima beradik bergilir guna telefon pintar ibu, arwah bapa

Syed Mohd Johan Rizal (tiga dari kiri) dan Mohd Fadzil (dua dari kiri) turun padang menyalurkan sumbangan tablet untuk kegunaan anak Saadiah Puteh (tengah) di Kampung Dewan, Alor Malai pada Sabtu.
A
A

ALOR SETAR - Lima anak kepada seorang ibu tunggal terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit milik wanita tersebut dan peninggalan arwah bapa mereka bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di kediaman mereka di Kampung Dewan, Alor Malai di sini.

Wanita berkenaan, Saaidah Puteh,40, berkata, tujuh daripada sembilan anaknya bersekolah, namun lima daripadanya mengikuti PdPR manakala seorang lagi adalah calon Sijil Pelajaran Malaysia yang belajar di sekolah seperti biasa dan seorang lagi anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU) yang kebetulan tiada sesi PdPR.

Anak Saadiah semuanya seramai sembilan orang berusia dari 20 tahun hingga dua bulan manakala suaminya, Zainol Abididil Ibrahim baru sahaja meninggal dunia pada Oktober lalu akibat kencing manis.

Katanya, disebabkan kekurangan gajet untuk anaknya belajar, lima daripada anaknya itu terpaksa bergilir-gilir berkongsi telefon bimbit miliknya dan peninggalan arwah suaminya untuk mengikuti PdPR.

"Setiap hari anak saya iaitu pasangan kembar, Nurul Alia Aneesa dan Nurul Alia Areesa,6, Nurul Aliah Aqila,9, Nurul Alia Alesya,12, dan Muhammad Zuffar Azriel,16, terpaksa menunggu giliran masing-masing untuk mengikuti PdPR.

"Malah anak-anak terpaksa meminjam telefon pintar sepupu mereka yang tinggal berhampiran untuk melakukan tugasan masing-masing," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Dewan, Alor Malai di sini pada Sabtu.

Katanya, mujur anak keduanya, Nurul Aliah Athirah,18, bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjalani sesi persekolahan secara bersemuka manakala seorang lagi, Muhammad Zuffar Aidil,15, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) tiada sesi PdPR.

Menurut Saadiah, dia tidak mampu menyediakan gajet baharu untuk anak-anaknya belajar disebabkan tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada wang pencen penakat Pertubuhan Keselamatan (Perkeso) arwah suaminya untuk menyara kehidupan mereka anak beranak termasuklah anak bongsu, Nurul Aliya Afiyya berusia dua bulan.

Tambahnya, walaupun anak sulung, Muhammad Zuffar Aliff,20, telah bekerja namun pendapatan diperoleh tidak mencukupi untuk membantu adik-adiknya dan cukup untuk keperluannya sahaja.

Bagaimanapun, nasib keluarga Saaidah mendapat perhatian Kelab Belia Darul Aman dengan kerjasama Pemuda UMNO Kedah yang menyumbangkan dua tablet untuk kegunaan anak ibu tunggal itu.

Saaidah berkata, dia berterima kasih di atas keprihatinan Kelab Belia Darul Aman dan Pemuda UMNO Kedah menyalurkan bantuan tablet untuk anak-anaknya, sekaligus memastikan mereka tidak keciciran dalam pelajaran.

"Alhamdulillah, anak-anak dapat belajar dengan lebih selesa untuk melakukan tugasan diberikan guru pada sesi PdPR selepas ini," katanya.

Sementara itu, Presiden Kelab Belia Darul Aman,Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pihaknya dengan kerjasama Pemuda UMNO Kedah mengambil inisiatif mengumpul dana daripada orang awam untuk membantu keluarga Saadiah.

"Ketika ini kita dapati isu kelengkapan dan alatan komunikasi seperti telefon pintar mendapat keluhan masyarakat terutama golongan tidak berkemampuan dan memiliki anak ramai yang tidak mampu menyediakan gajet untuk sesi PdPR," katanya.

"Susulan itu, kami mengambil inisiatif melancarkan Kutipan Tabung Sumbangan Tablet untuk Pelajar Kurang Berkemampuan bagi membantu lebih ramai pelajar memerlukan," katanya.

Katanya, untuk peringkat permulaan, pihaknya berjaya menyediakan 11 tablet untuk pelajar tidak berkemampuan dengan dua daripadanya disumbangkan kepada anak Saadiah.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Mohd Fadzil Zolkifli berkata, pihaknya terkesan dengan nasib ibu tunggal Saadiah yang mempunyai lima anaknya yang terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit untuk belajar.

Kepada pihak yang ingin membantu sumbangan tablet dan kewangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Malaysia 02105010014277 atas nama Kelab Belia Darul Aman ataupun menghubungi wakil mereka.

"Saya berharap orang ramai ataupun badan korporat dapat bersama-sama membantu menjayakan program murni ini bagi membantu pelajar meneruskan pembelajaran mereka dalam situasi norma baharu akibat Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!