'Jangan buli peniaga Melayu'

MOHAMAD RAZLAN
MOHAMAD RAZLAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan menutup bazar Ramadan di ibu kota dilihat sebagai cubaan membuli peniaga Melayu serta menutup periuk nasi rakyat.

Aktivis Masyarakat, Datuk Mohamad Razlan Rafii berkata, terbaru Menterinya, Khalid Abdul Samad didakwa menutup bazar Ramadan kerana hendak membuat pemutihan ke atas aktiviti menjual lesen berniaga kepada warga asing.

Beliau berkata, tindakan tersebut dilihat tidak adil, seolah-olah tiada jalan penyelesaian lain.

"Bazar Ramadan setahun sekali, untuk orang Islam mencari rezeki.

"Benar, ada kalangan orang Melayu yang tidak bertanggungjawab, tapi ia hanya 10 ke 30 peratus sahaja...Mereka ini memang sepatutnya dikenakan tindakan, tapi kenapa PH menghukum semua peniaga bazar kerana segelintir ini?," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya yang juga Naib Ketua Umno Bahagian Seputeh, beliau hairan kenapa Khalid mengambil keputusan begitu drastik dan begitu teruja menghukum orang Melayu, sedangkan bazar Ramadan hanya setahun sekali.

"Cuba Khalid pergi Petaling Street...yang berniaga bukan Cina, semua Bangladesh. Kenapa Khalid takut nak tutup Petaling Street? Peniagaan di sana setiap hari, bukan setahun sekali," katanya.

Mohamad Razlan berkata, Kementerian Wilayah Persekutuan perlu bersikap adil kepada orang Melayu di bandar dan jangan 'double standard' serta meletakkan orang Melayu 'di bawah kaki' dalam pentadbiran mereka.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebarang keputusan yang hendak diambil perlu difikirkan dengan sebaiknya dan bukan semberono kerana ia melibatkan masa depan serta periuk nasi rakyat.