Hospital swasta perangi Covid-19

A
A
A

KETIKA jumlah kes penularan Covid-19 di negara kita mencatatkan peningkatan mendadak, penggunaan katil di hospital-hospital kerajaan turut meningkat.

Menurut statistik, sebanyak 15 hospital Covid-19 mencatatkan kadar penggunaan katil (bukan ICU) melebihi 70 peratus. Di Lembah Klang, penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mencapai 100 peratus, manakala di Hospital Sungai Buloh (HSB) sebanyak 83 peratus.

Kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit Covid-19 di Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak pula telah melebihi 70 peratus.

Berikutan itu, hospital swasta telah memikul tanggungjawab dengan menawarkan perkhidmatan merawat pesakit Covid-19 yang sebelum ini hanya dilakukan oleh hospital-hospital kerajaan.

Kini terdapat 210 hospital swasta berlesen dengan 129 hospital swasta menawarkan perkhidmatan pesakit dalam bidang perubatan dalaman.

Daripada jumlah tersebut, 96 hospital swasta telah bersetuju untuk menyediakan rawatan Covid-19 dengan jumlah katil setakat ini adalah sebanyak 1,252 katil, 65 katil ICU dan 54 mesin ventilator.

Penglibatan hospital-hospital swasta dalam usaha membantu kerajaan memerang Covid-19 turut disambut baik oleh Sin Chew Daily.

Menurut akhbar Cina itu menerusi ruangan Lidah Pengarangnya, hospital-hospital kerajaan pastinya akan menghadapi situasi yang getir sekiranya hospital-hospital swasta tidak membantu menyediakan kemudahan yang ada kepada pihak kerajaan, lebih-lebih lagi jumlah kes semakin hari semakin meningkat.

Artikel Berkaitan:

Akhbar itu turut memuji kenyataan Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh bahawa pengasingan pesakit Covid-19 sama ada ke hospital kerajaan ataupun swasta boleh ditentukan mengikut tahap keseriusan seseorang pesakit.

“Difahamkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan rundingan dengan APHM dan antara cadangannya adalah agar hospital swasta memperuntukkan 10 peratus katil ICU dan wad biasa untuk pesakit Covid-19.

“Melakukan pengasingan mengikut kategori kesihatan pesakit merupakan langkah yang perlu digalakkan. Bagi pesakit kategori satu hingga tiga iaitu kumpulan pesakit ringan, mereka boleh dibenarkan menerima rawatan di hospital swasta, manakala kumpulan pesakit serius boleh dimasukkan ke HKL, PPUM dan HSB,” kata akhbar itu.

Bagaimanapun, jelas Sin Chew Daily, soal pembayaran di hospital swasta juga perlu dibincang dan diatasi bersama.

“Diharapkan bagi pesakit Covid-19 yang menerima rawatan di hospital swasta, mereka tidak akan dikenakan bayaran yang mahal kerana mereka adalah tergolong dalam kategori satu hingga tiga iaitu kumpulan pesakit ringan.

“Bagi mana-mana pihak yang terlibat iaitu pihak kerajaan, hospital swasta dan syarikat insurans perlulah mengambil berat bebanan yang ditanggung pesakit dengan mengenakan bayaran yang berpatutan serta mengikut kemampuan pesakit,” kata Sin Chew Daily.

KKM turut tidak ketinggalan memberikan sokongan dan bantuan kepada hospital swasta dari segi bantuan teknikal serta latihan.

“Ia dapat dilihat apabila hospital kerajaan memberikan bantuan kepada hospital swasta termasuk latihan secara dalam talian dan latihan guna tangan dalam memberikan rawatan berkaitan.

“Selain itu, kakitangan hospital swasta turut diberi peluang untuk ke Hospital Sungai Buloh bagi melihat sendiri bagaimana pesakit Covid-19 mendapatkan rawatan.

“Ia adalah sebahagian langkah yang perlu diteruskan demi memastikan adanya kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dalam usaha memerangi pandemik Covid-19,” menurut akhbar Cina itu lagi.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian