Penduduk kecewa anak pokok bakau musnah

Aktiviti pembersihan telah memusnahkan anak pokok bakau yang ditanam di rizab Sungai Segari. Foto: Ihsan Kuasa. Gambar kecil: Ismady Radzuan
Aktiviti pembersihan telah memusnahkan anak pokok bakau yang ditanam di rizab Sungai Segari. Foto: Ihsan Kuasa. Gambar kecil: Ismady Radzuan
A
A
A

LUMUT - Penduduk kecewa aktiviti pembersihan yang dijalankan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhampiran rizab Sungai Segari, di sini telah memusnahkan anak pokok bakau yang baharu ditanam semula, November lalu.

Penduduk, Ismail Ibrahim, 55, berkata, aktiviti itu dipercayai bagi memberi laluan untuk projek kolam udang dikhuatiri akan menjejaskan mata pencarian nelayan pesisir pantai.

"Pokok-pokok ini ditanam hasil kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai usaha memulihara hutan paya bakau.

"Namun, belum sempat membesar ia sudah dimusnahkan. Mungkin salah kami tidak mengetahui status tanah berkenaan sebelum menanam pokok di kawasan tersebut," katanya di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Ismady Radzuan berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk memaklumkan kehadiran jentera berat yang melakukan kerja-kerja dengan memusnahkan pokok-pokok itu.

Ismady Radzuan
Ismady Radzuan

Menurutnya, semakan mendapati kontraktor terlibat tidak mempunyai Kebenaran Merancang (KM) serta tiada Kebenaran Kerja Tanah dari Majlis Perbandaran Manjung (MPM).

"Rabu lalu selepas mendapat aduan, Kuasa dan syarikat berkenaan turun ke lapangan. Kontraktor juga sudah diarahkan berhenti kerja selagi belum ada KM, tetapi kami mendapati masih ada kerja yang dilakukan pihak itu semalam (Jumaat).

Artikel Berkaitan:

“Sebahagian pokok yang ditanam musnah ditolak jentera berat itu. Ia menyedihkan kami kerana boleh dikatakan hampir setiap minggu bermula Disember lalu hingga sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kami tanam pokok di sekitar kawasan berkenaan,” katanya.

Ismady berkata, pihaknya memohon syarikat berkenaan melihat semula pembangunan ternakan kolam udang milik mereka di sepanjang sungai berkenaan hingga Changkat Keruing yang melanggar rizab sungai (zon riparian) untuk ambil tindakan pemulihan.

Pada masa sama, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md Salleh mengesahkan pihak terbabit tidak mempunyai KM dan tiada permohonan dibuat untuk aktiviti itu.

“MPM mengarahkan pihak terbabit menghentikan kerja. Mereka boleh membuat permohonan KM, tetapi kelulusan hanya akan diberikan selepas mendapat ulasan daripada agensi teknikal berkaitan mengenai perkara itu,” katanya.