Lelaki meninggal dunia depan komputer riba

Pasukan perubatan memeriksa keadaan mayat lelaki yang ditemukan terbaring di dalam ruang tamu rumahnya. Gambar kanan: Anggota bomba memecahkan pintu rumah mangsa.
Pasukan perubatan memeriksa keadaan mayat lelaki yang ditemukan terbaring di dalam ruang tamu rumahnya. Gambar kanan: Anggota bomba memecahkan pintu rumah mangsa.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dengan terbaring di hadapan komputer riba dalam sebuah rumah di Taman Jambu Mawar di sini pada Jumaat.

Kejadian disedari jiran mangsa yang hairan apabila lelaki itu tidak keluar rumah selepas dipanggil beberapa kali, sebelum dia menghubungi anggota bomba pada jam 9.30 malam untuk pemeriksaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, sepasukan anggota bomba ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian itu dan mendapati pintu rumahnya berkunci di bahagian dalam.

"Anggota bomba terpaksa memecahkan pintu dengan menggunakan peralatan khas sebelum menemui mangsa terbaring di bawah sofa di bahagian ruang tamu.

"Pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan mangsa yang berusia 60an itu sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Jurucakap berkenaan berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan: