Covid-19: Thailand catat 930 kes baharu, satu kematian

Seorang kakitangan membasmi kuman bilik darjah di sekolah di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
Seorang kakitangan membasmi kuman bilik darjah di sekolah di Bangkok, Thailand. Foto Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand merekodkan 930 kes baharu Covid-19 dan satu kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan kepada 17,953 dengan 77 kematian.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Dr Panprapa Yongtrakul berkata kematian itu membabitkan pekerja Myanmar berusia 31 tahun di wilayah Samut Sakhon.

Menurut Dr Panprapa, daripada 930 kes baharu, sebanyak 916 kes adalah penularan tempatan dan 14 kes import membabitkan tiga warga Thai yang memasuki negara itu dari Malaysia.

Bagi kes penularan tempatan, 889 kes adalah daripada pengesanan kes aktif dengan 865 di Samut Sakhon, Samut Prakan (18), Maha Sarakham (empat), dan masing-masing satu di Bangkok dan Rayong manakala 27 kes sedang dirawat di hospital.

“Setakat ini, sebanyak 6,371 pesakit masih mendapatkan rawatan di hospital dan pelbagai fasiliti, termasuk hospital lapangan,” katanya dalam taklimat harian Covid-19 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha menggesa orang ramai agar terus mematuhi protokol keselamatan kesihatan untuk menghentikan penularan Covid-19 susulan pelonggaran sekatan, termasuk pembukaan semula institusi pendidikan di Bangkok dan 27 wilayah lain, bermula Isnin depan (1 Februari).

“Perniagaan akan dibenarkan beroperasi semula agar kehidupan rakyat kembali normal...Perniagaan yang dibenarkan beroperasi perlu mengambil langkah lebih berjaga-jaga. Ia adalah tanggungjawab semua,” katanya seperti dipetik dalam Bangkok Post.

Prayuth berkata CCSA akan terus memantau keadaan Covid-19 secara efektif di negara itu setiap hari untuk mencegah penularan wabak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Semalam (Jumaat), CCSA telah meluluskan kelonggaran langkah-langkah dan penentuan kawasan pada lima tahap, iaitu kawalan maksimum dan ketat; sangat terkawal; terkawal; pengawasan maksimum dan pengawasan berkuat kuasa Isnin.

Samut Sakhon, pusat penularan wabak semasa sejak pertengahan Disember lepas, kekal sebagai ‘kawasan kawalan maksimum dan ketat’ dengan semua sekatan kekal di wilayah itu. - Bernama