Hanya seorang anggota bomba Terengganu dijangkiti Covid-19

Anggota bomba Terengganu juga terlibat dalam proses sanitasi di tempat tumpuan awam, jabatan kerajaan dan institusi masjid.
Anggota bomba Terengganu juga terlibat dalam proses sanitasi di tempat tumpuan awam, jabatan kerajaan dan institusi masjid.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya seorang anggota bomba di Terengganu yang dijangkiti Covid-19 sejak pandemik itu bermula setahun lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, anggota terbabit dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerteh, Besut bagaimanapun mendapat jangkitan itu daripada luar dan bukannya sewaktu melakukan operasi.

MD HILMAN ABD RASHID
MD HILMAN ABD RASHID

Susulan itu, anggota terbabit dan kontak rapatnya di balai seramai 22 orang telah diarahkan kuarantin dan menjalani ‘swab test’.

“Kes ini berlaku awal Januari lalu, yang mana anggota yang positif itu mendapat jangkitan daripada isterinya. Alhamdulillah, setelah ‘swab test’ dijalankan, hanya seorang positif dan selebihnya negatif dan mereka semua telah kembali bertugas.

“Buat masa ini, hanya seorang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kijal, Kemaman yang sedang menjalani kuarantin kerana menjadi salah seorang individu dalam pengawasan (PUS). Kita banyak terlibat dalam proses sanitasi dan memindahkan pesakit positif Covid-19 dan yang perlu dikuarantin. Saya menekankan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam mengendalikan setiap operasi.

“Disebabkan itu, semua pegawai dan anggota kita akan memakai pakaian pelindungan diri (PPE) yang lengkap bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi setiap kali menjalankan operasi,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Hilman berkata, pihaknya turut membantu memindahkan seramai 130 individu terdiri daripada mereka yang positif, individu dalam pengawasan (PUS) dan pesakit dalam siasatan (PUI) Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 97 orang dipindahkan menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), manakala 33 orang lagi menggunakan bas ke pusat kuarantin.

"Kebanyakan bantuan pemindahan itu di Kuala Terengganu, Dungun dan Kemaman. Sepanjang bulan ini, kita turut melaksanakan tiga bantuan pengebumian membabitkan pesakit Covid-19 iaitu satu di Besut dan dua di Kuala Terengganu," katanya.