157 kes Covid-19 di Pahang layak jalani pemantauan di rumah

Dr Noor Hisham mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Dong, Raub pada Sabtu. Foto Facebook Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham mengadakan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Dong, Raub pada Sabtu. Foto Facebook Dr Noor Hisham
A
A
A

KUANTAN - Sejumlah 157 kes Covid-19 (jumlah kumulatif) bagi kategori tidak bergejala dan bergejala ringan layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Pahang sehingga Jumaat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu 100 kes masih aktif.

Menurutnya, CAC telah ditubuhkan di setiap daerah di negeri tersebut pada 19 Januari 2021.

Menurutnya, Bilik Gerakan CAC Negeri berfungsi sebagai pusat penilaian dan penyelarasan kes Covid -19 kategori tidak bergejala dan bergejala ringan peringkat negeri manakala CAC Daerah melaksanakannya di peringkat daerah.

"Semua kes positif Covid-19 bagi kategori itu akan dilakukan strafikasi risiko, penilaian klinikal (secara bersemuka) dan penilaian kesesuaian rumah untuk kes menjalani pengasingan sebelum layak dipertimbangkan perawatan dan pengasingan di rumah,"katanya melalui satu kenyataan menerusi Facebooknya pada Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 69 buah CAC Mobile Team yang mana pasukan kesihatan dari klinik akan melakukan lawatan pemantauan ke rumah terutamanya pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman.

Terdahulu Dr Noor Hisham melakukan lawatan kerja rasmi ke Klinik Kesihatan Dong, Raub pada Sabtu.

Fasiliti kesihatan itui telah beroperasi sejak 1973 dan memberi liputan perkhidmatan kepada 12,000 penduduk di Mukim Dong.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan menerusi Facebooknya itu, Dr Noor Hisham berkata, beliau telah diberi taklimat ringkas berhubung situasi kesiapsagaan menghadapi Covid-19 dan status CAC di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dan peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Raub.

Taklimat disampaikan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah dan Pegawai Kesihatan Daerah Raub, Dr Shafizah Ahmad Shafei.

Taklimat kesiapsagaan perkhidmatan hospital diberikan Pengarah Hospital Raub, Dr Idilia Isahar manakala taklimat mengenai pengoperasian CAC di Klinik Kesihatan Dong disampaikan Dr Jasmin Aqilah Zahari.