5,728 kes baharu Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes baharu harian Covid-19 di Malaysia merekodkan angka tertinggi untuk dua hari berturut-turut dengan 5,728 kes pada Sabtu, selain terdapat 13 lagi kematian akibat wabak itu.

Pada Jumaat, angka harian tertinggi dicatatkan dengan 5,725 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan baharu itu menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 47,388 kes, manakala bilangan kumulatif kes maut sebanyak 746.

Beliau berkata, daripada jumlah kes baharu, 5,723 adalah penularan tempatan dan lima kes import iaitu membabitkan dua rakyat tempatan dan tiga warga asing.

“Pada masa ini terdapat 319 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 120 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya menerusi Twitter rasminya pada Sabtu.

Dr Noor Hisham memaklumkan, 3,805 kes sembuh dicatatkan, menjadikan jumlah kumulatif bagi kes sembuh sebanyak 161,527 kes, manakala pertambahan kes hari ini pula menjadikan jumlah kumulatif kes kini 209,661.

Beliau berkata, Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 3,285 kes bersamaan 57.3 peratus daripada keseluruhan kes baharu, dengan 2,467 daripadanya adalah kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti Johor sebanyak 792 kes (13.8 peratus) dan Kuala Lumpur dengan 480 kes (8.4 peratus), katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham memperincikan 13 kes kematian yang dilaporkan melibatkan empat kes di Selangor, masing-masing dua kes di Sabah, Labuan dan Perak serta masing-masing satu kes di Johor, Sarawak dan Melaka, dengan kesemuanya mempunyai komplikasi kesihatan.

Mengenai pertambahan kluster, beliau berkata, sebanyak 16 kluster baharu dilaporkan, menjadikan jumlah kluster aktif kini 387 kluster, dengan 97 daripadanya mencatatkan pertambahan kes baharu hari ini.

Katanya, 13 kluster baharu membabitkan kluster tempat kerja iaitu Kluster Jalan Suasa, Jalan Riang, Jalan Lombong, Bintang Utama, Bayu Tampoi dan Bukit Batu Grisek masing-masing di Johor; Jalan Trompet dan Kampung Hala di Selangor; Lingkaran Maluri dan Desa Tun di Kuala Lumpur; Tanah Putih dan Jalan Ketengah (Pahang); serta Jalan Labuk (Sabah).

Selain itu, tiga lagi kluster melibatkan komuniti iaitu Lasah di Perak, Tersat (Terengganu) dan Taman Amalina (Pahang).

“Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Tanjung Suria (567 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (103 kes) dan Kluster Pasai (96 kes).

“Jumlah keseluruhan kluster yang tamat adalah 420 kluster termasuk empat kluster hari ini iaitu Kluster Batu Tujuh, Kluster D’Bajaru, Kluster Tapak Bina Jalan Broga dan Kluster Mador,” katanya. - Bernama