‘Ini isu gangster bukan kaum, kerajaan harus tegas’

Annuar ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Annuar ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan PH didesak bertindak tegas dalam menangani konflik Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya kerana ia bukan membabitkan rusuhan kaum, sebaliknya isu gangster.

Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa menyarankan kerajaan agar tegas terhadap penjenayah yang secara jelas melanggar undang-undang.

“Isu kuil ini datang tiba-tiba, tiada kena mengena dengan ketegangan kaum, ini melibatkan ‘gangster’ yang melanggar undang-undang.

“Jika kerajaan tidak mahu insiden kekecohan ini tidak beerulang di masa depan mesti tegas dalam tindakan undang-undang, cari pelaku, dakwa,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, kerajaan tidak sewajarnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada polis dan pihak berkuasa untuk menguruskan konflik ini.

“Bukan serah bulat-bulat kepada polis dan pihak berkuasa, sebaliknya ketua masyarakat, Adun, ahli Parlimen harus mainkan peranan bertemu dengan pihak kuil bukan nak cetuskan porak peranda namun lebih kepada penyatuan.

“Bukan sahaja polis, tapi semua pihak perlu mainkan peranan masing-masing,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Annuar memaklumkan himpunan perdana menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Driskriminasi Kaum (ICERD) yang dijadual 8 Disember ini tidak akan mempromosikan rasisme.

“Sekiranya mendapat kebenaran polis untuk berhimpun kami akan meminta khidmat nasihat dan panduan daripada polis agar tiada sebarang imej atau ‘banner’ yang cenderung mempromosikan perkauman.

Artikel Berkaitan:


“Kami akan minta nasihat polis agar perhimpunan ini berlangsung dalam suasana aman dan tiada sebarang ketegangan, polis perlu nasihatkan kami di mana harus berhimpun, apa yang boleh dan tak boleh buat, kami akan ikut arahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula menyatakan penganjur himpunan itu juga menjemput dan mengalu-alukan semua kaum untuk hadir pada 8 Disember ini.

“Himpunan 8 Disember ini tidak perlu bangkitkan polemik perkauman, ia sekadar himpunan polisi negara ia tidak melibatkan kaum, kita Cuma nak pastikan tiada kaum yang terpinggir.

“Kita jemput semua kaum yang sama-sama cintakan kedamaian negara telah dikecapi 61 tahun ini agar tiada sebarang ganggu gugat,” katanya

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim menyatakan Pas turut mendukung usul tergempar yang dikemukakan Ahli Parlimen PH, BN dan bebas untuk menangguhkan sesi Dewan Rakyat bagi membincangkan isu kuil.

“Ya, Pas sokong, ini soal keharmonian kaum ia tidak perlu dipolemik. Negara yang kita warisi daripada penjajah ini ada beberapa bom jangka yang jika tidak diurus dengan cermat akan menjadi polemik iaitu isu kaum, agama dan ekonomi.

“Parti politik ada pengaruh besar tanpa mengira agama dan kaum, kena duduk berbincang urus dengan harmoni dan cermat. Saya harapkan isu kuil dapat diselesaikan, pihak yang tidak ada kepentingan tak perlu campur tangan keruhkan lagi keadaan, serah kepada polis untuk selesaikan,” ujarnya.