Penyelia maut kereta dihempap kren di tapak pembinaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang penyelia tapak maut selepas keretanya dihempap sebuah kren yang menggelongsor dalam kejadian di tapak sebuah projek di Kampung Belimbing, Maran, pada pagi Sabtu.

Dalam kemalangan kira-kira jam 8.45 pagi itu, mangsa, Mohd Thaariq Asyraf Misbah, 29, dari Masai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu kren, Tinggai Anak Merum, 48, tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kren cuba mengundurkan jentera tersebut di laluan yang agak bercerun.

Menurutnya, pada masa sama, mangsa yang memandu kereta jenis Toyota Corrola sedang parkir keretanya berhampiran laluan itu.

"Kren terbabit dipercayai mengalami masalah brek lalu menggelongsor ke belakang lalu merempuh dan mengheret mangsa bersama kereta sebelum menghempapnya.

"Akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa tersepit dalam kenderaannya yang remuk sebelum berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: