62 sukarelawan terima vaksin Covid-19

Seramai 62 sukarelawan terima suntikan vaksin bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada Sabtu. Foto Facebook KKM
Seramai 62 sukarelawan terima suntikan vaksin bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani pada Sabtu. Foto Facebook KKM
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 62 sukarelawan menjadi individu terawal di Malaysia menerima suntikan vaksin bagi Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini pada Sabtu.

Ketua Jabatan Pusat Penyelidikan Klinikal HSAH, Dr Vijaya Kumar L Suppan berkata, kumpulan berkenaan merupakan sebahagian daripada 375 individu yang disasarkan menjadi sukarelawan bagi proses penerimaan suntikan kajian klinikal vaksin Covid-19 di hospital berkenaan.

Katanya, pemilihan sukarelawan terbabit dibuat dalam kalangan individu yang berumur 18 tahun ke atas serta memiliki tubuh badan yang sihat selain tidak melibatkan wanita mengandung, wanita yang bercadang untuk mengandung serta wanita yang masih berada dalam proses penyusuan.

"Majoriti sambutan yang diterima untuk menjadi sukarelawan di hospital ini adalah daripada kumpulan belia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun yang datang daripada pelbagai latar belakang," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Menurutnya, kebanyakan mereka mengetahui maklumat berkaitan Kajian Klinikal Fasa 3 Vaksin Covid-19 melalui media sosial seperti aplikasi Facebook, WhatsApps dan Twitter.

"Mereka ini telah menjalani program saringan pada Khamis lalu seperti ujian suhu, ujian fizikal ujian Covid-19 dan juga ujian darah. Ia termasuk lain-lain data tentang sejarah kesihatan mereka tentang penyakit kronik.

"Setelah berjaya jalani saringan pada Khamis dan keputusan darah serta Covid-19 adalah negatif maka mereka boleh dapatkan vaksin Covid-19 pada hari ini," katanya.

Katanya, sukarelawan terbabit juga akan dikawal selia dan dipantau pihak hospital selama satu tahun selain perlu menjalani beberapa ujian lain untuk mengetahui kesan suntikan yang mula dilaksanakan hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga berharap orang ramai terutama yang tinggal di utara tanah air dapat tampil untuk mendaftar sebagai sukarelawan bagi Kajian Klinikal ini di enam hospital termasuk di HSAH Sungai Petani, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Hospital Taiping, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Hospital Seberang Jaya dan Hospital Pulau Pinang," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi satu kenyataan menyatakan bahawa Kajian Klinikal Fasa 3 adalah merupakan kerjasama antara negara Malaysia dan China menerusi Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS). Kajian sama turut dijalankan di Brazil selian Kajian Klinikal Fasa 1 dan 2 telah dilakukan di negara China.

Vaksin kajian berkenaan adalah menggunakan platform vaksin tidak aktif yang diperbuat daripada virus yang telah dimatikan.