251,101 pekerja asing disaring, 4,735 positif Covid-19

Seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Disember 2020 yang lalu. - Foto Bernama
Seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Disember 2020 yang lalu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seramai 251,101 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 sejak 1 Disember lalu hingga semalam dengan 4,735 orang didapati positif jangkitan virus itu, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sebanyak 10,500 majikan telah menghantar pekerja mereka menjalani ujian itu yang diwajibkan oleh kerajaan ke atas pekerja asing.

“Semalam, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 8,601 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dengan 133 daripadanya positif.

“Hingga kini juga, 887 klinik terlibat dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Sabtu.

Ujian itu selaras dengan arahan kerajaan yang mewajibkan semua pekerja warga asing, khususnya di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dengan kos ditanggung majikan masing-masing.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, sejak 20 April lepas, anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menjalankan 14,840 pemeriksaan melibatkan 8,404 tapak pembinaan di seluruh negara.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP), beliau berkata, Polis Diraja Malaysia menahan 426 individu dengan 404 dikompaun, 21 direman dan seorang dijamin, semalam.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng pula menyaksikan 23 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dan dua bot dirampas. - Bernama

Artikel Berkaitan: