Pejuang tak boleh guna lambang Amanah: Mahfuz

Datuk Mahfuz Omar
Datuk Mahfuz Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak boleh menggunakan lambang Parti Amanah Negara (Amanah) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti itu menggunakan lambang Pakatan Harapan (PH).

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, sekiranya Amanah membenarkan lambang parti itu digunakan oleh pihak lain, ia tidak menunjukkan kesepakatan dalam penggunaan satu lambang.

“Prinsip kita ialah kita nak supaya semua parti pembangkang duduk semeja berunding, berbincang pengagihan kerusi dan kemudiannya membuat pendirian untuk gunakan satu lambang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas Timbalan Presiden Penaja Pejuang, Datuk Marzuki Yahya mengesahkan parti itu mungkin menggunakan lambang Amanah pada PRU15, jika pendaftarannya tidak diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, sebarang keputusan yang berkaitan dengan penggunaan lambang hanya akan dibuat oleh Majlis Presiden PH.

“Majlis Presiden PH nanti akan buat keputusan. Sehingga kini belum ada satu keputusan yang dibuat melainkan berasaskan kepada pilihan raya kecil yang lalu, semuanya guna lambang PH.

“Jadi kami tetap berpendirian untuk menggunakan satu lambang. Tak kiralah lambang apapun. Kami akan gunakan satu lambang pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

“Bila Majlis Presiden buat keputusan hanya satu lambang yang digunakan, maka lambang lain tidak boleh lagi digunakan,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau pada masa sama turut berharap agar parti Pejuang memahami perkara terbabit.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu turut menyatakan bahawa Amanah tidak pernah membuat apa-apa pendirian atau maklum balas terhadap kenyataan dibuat oleh Marzuki.

“Saya nak tegaskan kepada semua pihak bahawa itu hanyalah kenyataan Timbalan Presiden Pejuang dan kami tidak pernah memberikan apa-apa maklum balas, tidak pernah dibawa ke dalam perbincangan apa-apa mesyuarat di peringkat kepimpinan tertinggi Amanah sehingga kini,” katanya.