230 polis Johor dikenakan tindakan tatatertib pada 2020

Ayob Khan Mydin Pitchay
Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 230 pegawai, anggota dan pegawai awam Kontinjen Polis Johor dikenakan tindakan tatatertib pada tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan itu membabitkan lima pegawai kanan dan 225 anggota di seluruh negeri.

"Terdapat peningkatan warga polis Johor yang dikenakan tindakan disebabkan kesalahan dadah dan salah laku. Daripada jumlah itu, 44 dituduh di mahkamah melibatkan 43 anggota dan seorang pegawai, manakala 53 anggota dan empat pegawai kanan dikenakan tindakan tahan kerja.

"Selain itu, seramai 12 anggota dikenakan tindakan gantung kerja manakala 46 lagi anggota dikenakan tindakan buang kerja," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyampaikan Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Sabtu.

Katanya, sepanjang tahun lalu, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) negeri aktif mengesan salah laku warga polis Johor dan menjalankan serbuan serta tangkapan ke atas pegawai, anggota dan pegawai awam yang terlibat salah laku.

"Kes dadah merekodkan jumlah serbuan tertinggi iaitu 38 serbuan dan pemeriksaan yang dibuat mendapati jumlah positif dadah adalah seramai 24 anggota polis," katanya.

Ayob Khan memberitahu, JIPS negeri menerima 544 aduan pada 2020 dan daripada jumlah itu, 484 aduan telah dikemukakan maklum balas, manakala bagi 60 aduan lagi tidak dapat dikemukakan maklum balas kerana daripada surat layang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penekanan dalam aspek integriti dan isu rasuah pula mula menampakkan hasil dalam kalangan kakitangan polis Johor apabila beberapa anggota dan pegawai menolak sogokan wang tunai dalam jumlah besar pada tahun lalu.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, jumlah kemalangan menurun 24,308 kes atau 29.8 peratus pada tahun lalu yang secara keseluruhan mencatatkan 56,429 kes berbanding 82,454 kes pada tahun sebelumnya.

Jelasnya, jumlah kemalangan maut juga menurun iaitu 684 kes pada tahun lalu berbanding 1,021 kes pada 2019 sekali gus menunjukkan penguatkuasaan dan pemantauan yang dilaksanakan di lapangan memberikan impak positif kepada masyarakat.

"Dalam konteks penyelesaian kertas siasatan terbengkalai bagi tempoh 2010 hingga 2018, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor mencapai 99.9 peratus melebihi sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan iaitu 85 peratus," katanya.

Trafik Johor katanya, sepanjang tahun lalu melancarkan 3,504 operasi, menangkap 1,710 suspek dan mengeluarkan satu juta saman, manakala hasil kutipan kompaun pula berjumlah RM26 juta.

"Trafik Johor adalah kontinjen terawal menguatkuasakan Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pindaan 2020 bagi kesalahan pemandu mabuk. Di bawah akta ini juga kontinjen Johor mendakwa sembilan individu kerana memandu di bawah pengaruh alkohol," katanya.