Padah main bola, lelaki warga asing ditahan

Nik Ezanee
Nik Ezanee
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menahan sekumpulan lelaki warga asing yang bermain bola di taman permainan awam di Damansara Kim, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, aktiviti enam lelaki itu dikesan pihaknya pada jam 8.13 malam.

"Diingatkan aktiviti sukan bola sepak tidak dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tindakan diambil di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam kes berlainan, polis menahan 12 individu dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di sini, kira-kira jam 7.50 petang, Jumaat.

Nik Ezanee berkata, siasatan mendapati seorang lelaki berusia 51 tahun adalah penjaga premis dan seorang lelaki warga asing adalah pekerja yang tidak memiliki permit sah.

"Selebihnya yang ditahan iaitu 10 orang ialah pelanggan yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita yang sedang makan dan minum.

"Pelanggan ini telah dikenakan kompauan RM1,000 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pihaknya memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP dan sekiranya ingkar mereka boleh dikenakan tindakan kompaun dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang.