Covid-19: Najib tak sangka dipersalahkan susulan kes meningkat

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyangka dipersalahkan susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 yang mencecah lebin 5,000 pada Jumaat.

Beliau berkata, peningkatan kes itu berlaku kononnya beliau tidak mengambil inisiatif untuk menasihati kerajaan.

Bagaimanapun, Najib menyindir pihak yang menyalahkannya itu dengan menyenaraikan 'nasihat' yang telah diberikan sebelum ini bagi mengelak penularan wabak tersebut.

“Yang beri amaran bahawa kuarantin rumah bagi pelawat asing akan cetus gelombang baharu Covid, Najib. Yang tak setuju Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan, Najib.

“Yang bidas kerajaan kerana proses kuarantin bagi mereka pulang dari PRN Sabah lembab, Najib. Yang suruh kawal ketat dan sekat rentas negeri seluruh semenanjung Malayisa di peringkat awal selepas PRN Sabah pada ketika kerajaan suruh kita tenang dan dakwa keadaan masih terkawal, Najib.

“Yang kata tindakan kerajaan mansuhkan sekatan rentas negeri dan semakin melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) pada ketika Covid semakin naik adalah pendekatan yang gagal, Najib,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen Pekan itu tidak menasihati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum membuat PRN Sabah.

Pengguna media sosial tersebut turut mempertikaikan sama ada Najib mahu menjadi hero disebabkan peningkatan kes Covid-19 sehingga 5,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Najib mempersoalkan kewajaran pihak yang menuding jari terhadapnya selepas usaha kerajaan didakwa gagal walaupun beliau sebelum ini telah memberikan pandangan dalam memastikan isu kesihatan global yang melanda negara ini ditangani sewajarnya.

“Tapi akhirnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 separuh masak selama 17 hari masih gagal, kes baru cecah 5,700 kes dan jumlah kes melepasi 200,000, Najib juga yang salah sebab tak nasihatkan kerajaan?” katanya.

Pada Jumaat, media melaporkan sebanyak 5,725 kes baharu Covid-19, menjadikan kes terkumpul mencecah angka lebih 200,000.