X

Kindly register in order to view this article
!

Penyeliaan di IPD, balai polis lemah: Ayob Khan

Ayob Khan
A
A

JOHOR BAHRU - Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay tidak berpuas hati tahap penyeliaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri itu terutama dalam menyediakan kertas pertuduhan untuk dibawa ke mahkamah.

Beliau berkata, semakan dan pemeriksaan mengejut dijalankan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mendapati terdapat kelemahan penyeliaan ketua polis daerah dan ketua bahagian terbabit.

"Ini melibatkan kertas siasatan sama ada jenayah, narkotik atau jenayah komersial.

"Antara kelemahan itu terdapat kertas siasatan yang mendapat arahan tuduh daripada timbalan pendakwa raya hampir tujuh bulan tetapi tidak diambil tindakan oleh pegawai penyiasat.

"Terdapat juga pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan ada kes tertentu tiada pengedaran kes dalam tempoh tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap menyampaikan Laporan Prestasi Tahun 2020 dan Amanat Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini pada Sabtu.

Katanya, ada pegawai penyiasat tidak edarkan kertas siasatan ke pejabat timbalan pendakwa raya walaupun mendapat laporan kimia dan patologi selain tiada waran tangkap dimohon setelah orang kena tuduh gagal dikesan.

Begitu juga katanya, pegawai penyiasat kanan atau ketua bahagian tidak teliti dan terlalu ringkas dalam memberi arahan kepada pegawai penyiasat selain tidak mengemas kini borang untuk sabitan mahkamah.

Kegagalan itu katanya, mempunyai kesan besar terhadap konteks rekod jenayah suspek atau banduan terbabit dan menjadi punca pesalah yang dijatuhkan hukuman tetapi melepasi tapisan keselamatan contohnya bekerja dalam sektor awam dan swasta malah ada menjadi anggota polis.

Justeru katanya, bermula bulan depan, satu pasukan tindakan khas dari IPK Johor akan dihantar untuk membuat pemeriksaan mengejut ke atas kertas siasatan di semua daerah.

"Sekiranya masih terdapat kelemahan dari segi penyeliaan kertas siasatan sama ada di peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, semua akan dikenakan tindakan tatatertib, tiada tolak ansur.

"Kelemahan ini disebabkan kurangnya penyeliaan membabitkan pegawai atasan di peringkat daerah. Ini adalah fakta.

"Ketua polis daerah, ketua bahagian dan pegawai penyiasat kanan semua berpengalaman luas," ujarnya.

Beliau juga tidak mahu menerima apa-apa lagi alasan dalam konteks kelemahan penyeliaan di peringkat daerah dalam memastikan kes-kes yang disiasat dituduh di mahkamah dan mendapat sabitan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!