Suhu ultra sejuk kekal semasa latihan hantar vaksin ke Belaga

Tiada isu atau masalah yang timbul semasa latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga.
Tiada isu atau masalah yang timbul semasa latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga.
A
A
A

BINTULU - [DIKEMASKINI] Tiada isu atau masalah yang timbul semasa latihan penghantaran vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 ke Klinik Kesihatan Belaga di sini semalam meskipun perlu menempuh perjalanan jauh dari kilang syarikat gergasi farmaseutikal Amerika Syarikat, Pfizer di Puurs, Belgium.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Aaron Ago Dagang berkata kejayaan mengekalkan suhu ultra sejuk bagi penghantaran itu membuktikan vaksin itu dapat dihantar ke mana-mana tempat di negara ini.

Menurut beliau, input peranti log data yang diberikan oleh syarikat itu yang memantau proses penghantaran itu dari Belgium menunjukkan keputusan yang memuaskan.

“Daripada data pengelog itu, kita mendapati tiada isu atau kelemahan dan kita mengharapkan ketika aktiviti penghantaran vaksin sebenar nanti begitu juga,” katanya pada sidang akhbar selepas latihan penghantaran vaksin itu ke Hospital Bintulu hari ini.

Disimpan dalam bekas ‘thermal shipper’, botol berisi cecair salin itu diangkut dari Belgium ke Singapura dan kemudian ke Malaysia sebelum dibawa ke Kuching menggunakan pesawat dan kemudiannya ke Bintulu hingga ke Klinik Kesihatan Belaga menggunakan jalan darat.

Menurutnya semasa latihan, suhu di dalam thermal shipper dapat dikekalkan antara -90 hingga -60 darjah Celsius dan ini dapat memastikan vaksin Pfizer itu berada dalam keadaan sempurna ketika sampai ke destinasinya.

Sementara itu, Ketua Sektor Farmasi Kesihatan Awam Malaysia Datin Shantini Thevendran berkata bagi penghantaran sebenar nanti, syarikat Pfizer akan melantik sendiri ejen penghantaran vaksin itu ke fasiliti-fasiliti vaksin di negara ini.

Latihan pengendalian vaksin itu bagi anggota-anggota kesihatan dan Angkatan Tentera Malaysia akan dilaksanakan dari 2 hingga 5 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

Malaysia dijangka menerima 12.8 juta dos vaksin itu secara berperingkat bermula pertengahan Februari dan proses vaksinasi akan dijalankan mengikut keutamaan iaitu ke atas anggota barisan hadapan, kemudiannya ke atas rakyat Malaysia yang berisiko tinggi dan rakyat yang berusia 18 tahun ke atas.

Pelaksanaan latihan penghantaran vaksin itu dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu kenyataan hari ini berkata latihan percubaan itu adalah sebahagian daripada langkah persediaan rapi sebelum vaksin sebenar Covid-19 diterima oleh KKM.

Ini termasuk menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar, menurutnya.

“Kelancaran kedua-dua latihan percubaan di Klinik Kesihatan Belaga, semalam (Jumaat) dan Hospital Bintulu, hari ini (Sabtu) amat penting dalam memastikan pelan imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar di seluruh negara selepas ini,” katanya. - Bernama