Peluang sambar piala makin terhad

Nafuzi
Nafuzi
A
A
A

PEMBATALAN saingan Piala FA dilihat mengecilkan lagi peluang mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berkata, persaingan kini lebih terarah memburu trofi Liga Super mahupun Liga Premier selain Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

“Secara peribadi saya berpandangan tiadanya saingan Piala FA membuatkan peluang untuk memenangi piala dalam saingan Liga-M kali ini agak terhad.

“Sebelum ini dengan adanya Piala FA, peluang untuk memenangi piala itu agak besar. Pasukan yang bertanding juga pasti akan memberikan aksi yang terbaik untuk cuba memenangi piala-piala yang dipertandingkan.

“Tetapi selepas ini hanya tinggal dua piala, Piala Malaysia dan Liga Super atau Liga Premier. Bagi pasukan yang tak layak ke Piala Malaysia, mereka ada peluang dalam Piala Cabaran,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Begitupun, Nafuzi berkata, pembatalan penganjuran Piala FA mampu mengelakkan jadual perlawanan yang padat sehingga memberi impak kepada para pemain.

“Pembatalan Piala FA ini juga ada baiknya kerana pasukan boleh membuat persiapan lebih teratur. Jika tidak, mungkin jadual perlawanan agak padat disebabkan situasi Covid-19 sekarang,” jelasnya.

Mengulas mengenai persiapan TFC menjelang sepak mula Liga-M pada 5 Mac depan, Nafuzi memberitahu, skuad kendaliannya kini sedang mengharungi 'tempoh bertenang'.

Artikel Berkaitan:

“Disebabkan PKP, saya dan barisan kejurulatihan TFC hanya memantau latihan atau program individu yang disediakan kepada pemain-pemain untuk dilaksanakan di rumah masing-masing.

“Harap tidak lama lagi kami akan dibenarkan kembali berlatih seperti biasa. Paling penting pemain terus berdisiplin mengikuti modul latihan yang disediakan,” jelasnya.